Date: Jumaat, Januari 13, 2017
 
Sukacita dimaklumkan bahawa Jurnal JKR Bil. 4(2016) kini telah diterbitkan dan boleh dipinjam dari Perpustakaan JKR di Tingkat 16, Blok F, Ibu Pejabat JKR Malaysia. Jurnal ini mengandungi 13 artikel yang mana seperti kebiasaannya telah disumbangkan oleh warga kerja JKR dari seluruh Malaysia. Edisi jurnal pada kali ini menunjukkan terdapat pertambahan bilangan artikel yang disumbangkan berbanding edisi-edisi sebelum ini. Ia adalah satu perkembangan yang amat positif dan pihak kami berharap momentum ini dapat dikekalkan atau ditambahbaik lagi untuk edisi jurnal tahun-tahun yang akan datang.
 
Secara ringkasnya, artikel yang dimuatkan di dalam jurnal ini adalah merupakan hasil penyelidikan warga JKR dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan struktur, kejuruteraan jalan, kejuruteraan jambatan, pengurusan projek, pengurusan pengetahuan, Green Building, dan lain-lain lagi. Kajian-kajian kes yang telah dimuatkan di dalam jurnal ini boleh dijadikan panduan atau sumber tambahan dalam meningkatkan ilmu pengetahuan para pembaca.
 
Pihak kami juga berharap agar jurnal ini dapat mendorong lebih ramai warga JKR menjana idea-idea yang bernas serta menjalankan penyelidikan yang berkualiti sekaligus menghasilkan kertas kerja atau artikel yang bermutu tinggi. Untuk makluman, edaran setiap edisi jurnal JKR adalah merangkumi semua jabatan teknikal kerajaan, semua institusi pengajian tinggi awam dan agensi-agensi lain yang berkenaan. 
 
Sidang Redaksi Jurnal JKR, 
Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat.