Date: Isnin, Mei 29, 2023

Pada 28 Mei 2023 (Ahad) bertempat di INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah menerima penganugerahan Sijil Penarafan Malaysian Government Performance Index (MyGPI) Tahun 2022-2023 kategori PLATINUM dengan skor markah melebihi 90 peratus ke atas. Sijil penarafan tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara.

JKR merupakan salah satu daripada empat agensi yang berjaya mencapai penarafan MyGPI kategori PLATINUM. Agensi lain yang turut memperoleh kategori tersebut adalah Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan. Sebanyak 26 Kementerian, 5 Agensi Pusat dan Jabatan Utama serta Jabatan Wilayah Persekutuan telah terlibat dalam program penilaian MyGPI Tahun 2022.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Tadbir Urus MyGPI JKR yang telah memberikan kerjasama yang mantap dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan ketersediaan dokumen bagi memenuhi kriteria penilaian MyGPI.

MyGPI merupakan satu mekanisme pengukuran prestasi sektor awam baharu yang menggantikan Sistem Star Rating (SSR). Program penilaian MyGPI ini telah dibangunkan selari dengan aspirasi peringkat global dan aspirasi peringkat nasional yang merangkumi dasar dan pelan baharu Kerajaan. Mekanisme pengukuran prestasi sektor awam yang baharu ini dibangunkan lanjutan daripada prestasi pencapaian SSR bagi agensi sektor awam yang telah mencapai tahap matang.

Penilaian MyGPI adalah berdasarkan keterangkuman aspek-aspek seperti berikut:

i.    Aspirasi di peringkat global seperti United Nations Sustainable Development Goals, Global Competitiveness Index, E-Government Development Index dan World Happiness Index;

ii.   Aspirasi di peringkat nasional seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12, Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDIGITAL), Dasar 4IR Negara, Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 dan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023;

iii.  Dua (2) dimensi penilaian diwujudkan melalui MyGPI iaitu Dimensi Pengurusan Organisasi dan Dimensi Pendigitalan Perkhidmatan;

iv.  Pengukuran prestasi sektor awam berdasarkan keberkesanan, kecekapan dan penyampaian perkhidmatan yang berpaksikan rakyat (citizen-centric) melalui tadbir urus yang baik seperti kepimpinan, integriti, ketelusan, inklusif, pematuhan dan responsif; dan

v.   Platform penilaian secara atas talian menggunakan aplikasi MyGPI.

Semoga penarafan MyGPI ini akan menjadi pemangkin semangat kepada warga JKR dalam mengekalkan budaya kerja yang tersusun dan sempurna di setiap peringkat jabatan ke arah keberhasilan penyampaian perkhidmatan melebihi ekspektasi pelanggan. Transformasi dan daya upaya kesepaduan melalui inisiatif-inisiatif pragmatik adalah resepi kejayaan yang mampu melonjakkan imej dan kredibiliti JKR sebagai agensi teknikal terulung di negara ini.