Date: Jumaat, Ogos 30, 2019

Sebagai langkah untuk menjadikan CREaTE sebuah pusat kecemerlangan kejuruteraan dan teknologi yang disegani, perkhidmatan pengujian makmal yang ditawarkan perlulah mencapai piawaian antarabangsa. Untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan, prosedur pengujian yang sahih dari sudut teknikal, kompetensi teknikal pegawai-pegawai makmal yang diiktiraf dan pengurusan makmal yang berkesan perlu diberi penekanan.

Sehubungan dengan itu, selaras dengan program pembangunan makmal, inisiatif di bawah perluasan skop dan pembangunan pengurusan kualiti ISO/IEC 17025:2017 iaitu keperluan umum bagi kompetensi pengujian dan kalibrasi makmal diteruskan dengan melatih pegawai-pegawai yang kompeten di dalam keperluan piawaian tersebut.

Pada 18-22 Mac 2019, pegawai-pegawai JKR yang terpilih telah menjalani kursus Lead Assessor ISO/IEC 17025 anjuran SIRIM dan dengan jayanya telah diiktiraf sebagai Lead Assessor ISO-IEC 17025:2017 yang pertama di dalam Jabatan. Kursus yang merangkumi 40 jam termasuk penilaian berterusan di dalam pembelajaran dan ujian bertulis telah ditempuhi dengan jayanya.

Satu majlis penyampaian sijil pentauliahan tersebut telah diadakan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) pada 20 Ogos 2019 (Selasa) yang dirasmi dan disampaikan oleh Pengarah Bahagian Inovasi, Penyelidikan dan Pembangunan Kejuruteraan (BIPPK) serta menjalankan tugas Pengarah Kanan, YBrs. Dr. Maziah bt. Mohammad.

Syabas kepada pegawai-pegawai JKR berikut yang ditauliahkan sebagai Lead Assessor ISO 17025:2017 :

  1. Ir. Fithry bin Mohd Amir (Jurutera Mekanikal Penguasa)
  2. En. Haffizan bin Abdul Ghafar (Jurutera Awam Kanan)
  3. Pn. Nurul Eilmy bt. Zainuddin (Jurutera Awam Kanan)
  4. En. Mohd Hanif bin Jamaluddin (Jurutera Elektrik J44)
     

Semoga dengan pencapaian ini, program pembangunan makmal dan pengujian di CREaTE dapat dipertingkatkan dan diteruskan bagi mencapai piawaian antarabangsa selaras dengan hasrat JKR untuk menjadikan CREaTE sebagai pusat penyelidikan dan pengujian yang disegani.