Date: Rabu, Ogos 21, 2024

20 Ogos 2024 (Selasa) - Majlis Penyerahan Projek Menyiapkan Baki Kerja Pembinaan Mahkamah Baharu Ampang, Selangor Darul Ehsan telah berlangsung pada hari ini bertempat di Kompleks Mahkamah Baharu Ampang, Selangor Darul Ehsan. Majlis ini telah dihadiri oleh YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya; YBhg. Dato’ Zahrul Hakim Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar & Pembangunan.; YBhg. Dato’ Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya; YBrs. Tuan Zamri bin Misman, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-undang & Reformasi Institusi dan YBrs. Tuan Zamri bin Bakar, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan

Sesi menandatangani dokumen penyerahan projek telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Ir. Mohd Zawawi Zakaria, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor dan YBrs. Tuan Zamri bin Misman, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.

Majlis Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya kepada YBrs. Tuan Zamri bin Misman, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Majlis penyerahan ini juga disaksikan oleh YBrs. Tuan Azhaniz Teh Bin Azman Teh, Timbalan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan; YBrs. Ir. Hj. Zulkifli Bin Abdul Rashad, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar); YBhg. Dato' Anita Binti Hj Harun, Pengarah Mahkamah Negeri Selangor, Pegawai- Pegawai Kanan JPM, BHEUU, Mahkamah Selangor, JKR, Pasukan Kontraktor dan NSC, serta Pasukan Perunding.


Kaedah pelaksanaan projek adalah secara Konvensional Perunding dan dilaksanakan secara tender terbuka.  Tarikh milik tapak projek ini adalah pada 9 Disember 2020 dan tarikh siap semasa adalah pada 19 April 2024. Mahkamah ini dibina dengan konsep reka bentuk moden atau dikenali sebagai “urban industrial design”.

Skop pembinaan mahkamah ini merangkumi keperluan utama dan kemudahan sampingan seperti berikut:-
       i. 4 buah bilik bicara mahkamah sesyen,
      ii. 6 buah bilik bicara mahkamah majistret,
      iii. Kamar Hakim,
      iv. Pejabat Pendaftaran dan Pentadbiran,
       v. Ruang Pengurusan Polis dan OKT,
       vi. Ruang Awam dan Komersil, serta Kerja-kerja luar berkaitan,
      vii. 281 Ruang parkir kenderaan, dan
     viii. Sistem mekanikal dan elektrikal.

Hasil daripada amalan pengurusan projek yang baik, projek ini telah memperolehi beberapa kejayaan seperti mencapai skor 77% dalam Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC) dan pencapaian 523,978 man/hours without lost time injuries.

Projek ini juga diserahkan  secara 3 dalam 1 yang merupakan KPI jabatan iaitu Perakuan Siap Kerja (CPC), Lukisan Terbina dan Penyata Akaun Muktamad (SOFA).

JKR berharap penyerahan projek Mahkamah Baharu Ampang ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada rakyat terutama melibatkan institusi kehakiman  serta  memberikan keselesaan kepada kakitangan Mahkamah dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat. Semoga Bangunan Mahkamah ini menjadi mercu tanda baharu kepada masyarakat Ampang yang menjadi kebanggaan Pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada Pasukan Projek JKR Daerah Hulu Langat, Cawangan Kerja Bangunan Am 1 selaku pihak HOPT dan HODT di Ibu Pejabat JKR Malaysia, pihak WPP Mekanikal dan Elektrikal JKR Selangor , Pasukan Perunding. pihak kontraktor utama, pihak subkontraktor dinamakan (NSC) dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan projek dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak pelanggan dengan jayanya.