Date: Khamis, Mei 21, 2020

Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-kerja Berkaitan Di Sekolah Kebangsaan (SK) Jenang, Marang, Terengganu telah berlangsung dengan jayanya pada 21 Mei 2020 (Khamis) bertempat di SK Jenang, Marang, Terengganu. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Amalludin bin Zolkifli, Jurutera Daerah JKR Marang selaku Pegawai Penguasa projek ini kepada YBrs. Encik Nik Abdul Hanif bin Nik Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Pembangunan, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT). Majlis ini turut dihadiri oleh pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Marang, Guru Besar Sekolah SK Jenang dan pegawai JKR Marang serta pihak kontraktor.

Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-kerja Berkaitan Di SK Jenang, Marang, Terengganu direkabentuk oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur dan perlaksanaannya adalah secara konvensional. Jurutera Daerah JKR Marang dilantik sebagai Pegawai Penguasa (PP) dan dibantu oleh Jurutera Bangunan selaku Wakil Pegawai Penguasa (WPP) serta Pegawai Tapak Bina (PTB). Kontraktor yang melaksanakan projek ini adalah Pemilik Hati Sdn. Bhd. Antara dua kaedah utama pembaikan cerun ini menggunakan kaedah Soil Nailing dan Stone Pitching. Matlamat utama pembinaan projek ini adalah memastikan cerun kawasan sekolah ini stabil dan selamat memandangkan kawasan sekolah ini dibina berhampiran dengan cerun sediaada. Perlaksanaannya dapat menghilangkan kegusaran pihak sekolah kerana kegagalan cerun sebelum ini telah dibuat pembaikan sepenuhnya.

Pembinaannya telah bermula pada 7 Ogos 2019 dan tempoh pembinaan asal selama 43 minggu yang mana penyiapan asalnya adalah pada 2 Jun 2020. Walau bagaimanapun, projek ini dapat disiapkan awal dua minggu dari tarikh siap asal iaitu pada 18 Mei 2020. Kos Kontrak asal projek ini adalah RM 965,300.00 tetapi disiapkan dengan kos berjumlah RM 822,806.73 yakni mempunyai penjimatan sebanyak RM 142,493.27.

Projek ini turut disiapkan dengan jayanya secara 3 dalam 1 iaitu:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah diperakukan pada 18 Mei 2020
  2. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA) pada 19 Mei 2020
  3. Penyiapan As Built Drawing pada 19 Mei 2020

Terdapat beberapa kekangan dalam perlaksanaan pembaikan cerun ini, antaranya pihak kontraktor tidak dapat memulakan kerja sekitar bulan September dan Oktober 2019 kerana memberi laluan kepada pihak sekolah yang terlibat dengan peperiksaan penting iaitu percubaan UPSR dan peperiksaan sebenar UPSR. Di samping itu juga, pada awal Januari 2020 projek ini terpaksa dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada pendaftaran pelajar baru pra sekolah dan pelajar tahun satu sesi 2020. Kekangan seterusnya menyebabkan pembinaan projek ini terhenti sekali lagi pada pertengahan bulan Mac sehingga hujung April 2020 berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan Pandemik wabak Covid-19.

Walaupun pelbagai kekangan yang dihadapi, projek ini tetap dapat disiapkan awal dari tempoh penyiapan sebenar. Model-model pengalaman kejayaan projek sebelum ini di JKR Daerah Marang dan di JKR lain telah dijadikan panduan untuk strategi perlaksaan bagi projek ini. Malah ianya ditambahbaik dari masa ke semasa. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya

“Together We Deliver, JKR Terengganu Molek Sokmo”