6 Jun 2024 (Khamis) - Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyempurnakan Penyerahan Projek Pembinaan Ramp/Flyover Sepanjang 300m Dari Jalan P15H Ke Persiaran Timur, kepada Yang Berhormat Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) .
Turut hadir sama semasa majlis penyerahan projek adalah YBhg. Dato' Zahrul Hakim Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), YBhg. Dato’ Ir. Hj. Badioezaman Bin Ab Khalik Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) yang Menjalankan Tugas Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim Bin Esa Pengarah Kanan Cawangan Jalan yang menjalankan Tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBhg. Dato’ Parang Abai @ Thomas, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosio Ekonomi), Jabatan Wilayah Persekutuan dan YBhg. Dato’ TPr Fadlun bin Mak Ujud Presiden Perbadanan Putrajaya.
Projek ini melibatkan pembinaan Jalan Bertingkat sepanjang 300 meter dengan piawaian U5, menghubungkan Jalan P15H di Presint 15 ke Persiaran Timur, serta merupakan hasil kajian dan solusi bagi menangani isu kesesakan lalu lintas di laluan utama Presint 15 (Roundabout 5 persimpangan), khususnya pada waktu puncak. Selain itu, ia menawarkan laluan alternatif kepada kira-kira 35,000 penduduk Presint 15 dan kawasan sekitar yang berulang-alik ke pejabat kerajaan Putrajaya (Core Island).
Kos semasa projek RM12.63juta berbanding dengan kos asal sebanyak RM20.66juta ini memberikan penjimatan kos pembinaan substruktur sebanyak RM8.0juta yang merupakan hasil inovasi reka bentuk struktur jambatan.
Antara skop kerja utama bagi projek ini adalah:
- Membina jalan susur bertingkat sepanjang 300m dengan piawaian U5;
- Membina sistem perparitan;
- Menaiktaraf lampu jalan di persimpangan P15H; dan
- Penyediaan / Pengalihan serta perlindungan utiliti.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua ahli pasukan Pasukan Projek iaitu Unit Projek Khas Zon Tengah 1, Cawangan Jalan, Yang Berusaha Ir. Hj. Saipullah Bin Hj Husin selaku Pegawai Penguasa serta semua pasukan projek yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan sebaiknya bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek dapat disiapkan dengan sempurna, mengikut skop, kos dan tempoh masa yang ditetapkan.
- 1532 bacaan