Date: Isnin, Oktober 4, 2021

Pada 3 Oktober 2021 bertempat di tapak projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Projek Siap bagi dua (2) projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) iaitu Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dan Kuarters Ulu Tiram, Johor Bahru serta Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dan Kuarters Kampung Kenangan, Muar, Johor.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) Sektor Bangunan, Jabatan Kerja Raya Malaysia, YBhg Dato’ Ir. Haji Habbali bin Ibrahim kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan (CKK), YBrs. Ar. Azman bin Md Hashim, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Yang Berhormat Dato’ Dr. Aman bin Rabu, Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan, Wakil Rasmi kepada Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia, YBrs. Tuan Mohd Rashidi Bin Yahaya, Pengarah JKR Johor selaku Pegawai Penguasa Projek, YBrs. Ir. Abu Bakar bin Abd Aziz, Timbalan-Timbalan Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan kedua-dua projek ini.

Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dan Kuarters Ulu Tiram, Johor Bahru telah dilaksanakan oleh kontraktor utama SAKIZA INDAH SDN BHD. dengan kos asal kontrak sebanyak RM25,110,336.42. Tarikh milik tapak bagi projek ini adalah pada 23 Januari 2018 dan perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 24 Ogos 2021.

Manakala Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dan Kuarters Kg Kenangan, Muar, Johor pula telah dilaksanakan oleh kontraktor utama MUARA ATUR (M) SDN. BHD. dengan kos asal kontrak sebanyak RM 21,937,230.53. Tarikh milik tapak bagi projek ini adalah pada 27 Mac 2017 dan perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 30 Mei 2021.

Pegawai Penguasa bagi kedua-dua projek ini adalah Pengarah Kerja Raya Negeri Johor, manakala JKR Daerah Johor Bahru dan JKR Daerah Muar telah dilantik sebagai Wakil Pegawai Penguasa Projek. Projek-projek ini menggunakan Lukisan Pre-Approved Plan (PAP) dan skop projek termasuklah pembinaan sebuah Klinik Kesihatan (Jenis 3), empat (4) unit kuarters kelas F dan G, blok-blok sokongan serta kerja-kerja infrastruktur yang berkaitan seperti rangkaian jalan dalaman, sistem perparitan dan lain-lain yang berkenaan.

Majlis dimulakan dengan nyayian lagu Bangsa Johor dan lagu Negaraku, seterusnya disusuli dengan bacaan doa dan ucapan aluan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) Sektor Bangunan, Jabatan Kerja Raya Malaysia dan ucapan perasmian oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia.

Majlis seterusnya diteruskan dengan sesi menandatangani Dokumen Serahan Projek bagi kedua-dua projek di antara Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) Sektor Bangunan, YBhg Dato’ Ir. Haji Habbali bin Ibrahim dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah serta diiringi oleh Pengarah Kerja Raya Negeri Johor, YBrs. Ir. Abu Bakar bin Abd Aziz dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Yang Berhormat Dato’ Dr. Aman bin Rabu.

Majlis diteruskan lagi dengan sesi simbolik penyerahan kunci dan sesi bergambar. Majlis diakhiri dengan sesi lawatan tapak oleh tetamu kehormat ke dalam bangunan utama klinik kesihatan.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan projek, pihak HOPT dan HODT, pihak kontraktor utama iaitu Sakiza Indah Sdn Bhd dan Muara Atur (M) Sdn. Bhd., kontraktor NSC serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak pelanggan dengan jayanya.

Ucapan Aluan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) Sektor Bangunan, YBhg Dato’ Ir. Haji Habbali bin Ibrahim

Ucapan Perasmian oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah

Sesi menandatangani Dokumen Serahan Projek bagi kedua-dua projek di antara Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) Sektor Bangunan, dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Simbolik penyerahan kunci Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dan Kuarters Kampung Kenangan, Muar, Johor.

Bergambar bersama pasukan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dan Kuarters Kampung Kenangan, Muar, Johor.

Simbolik penyerahan kunci Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dan Kuarters Ulu Tiram, Johor Bahru

Bergambar bersama pasukan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dan Kuarters Ulu Tiram, Johor Bahru

Sesi lawatan tapak bersama tetamu kehormat

Dari kiri : Jurutera Daerah Muar, Jurutera Daerah Johor Bahru, Pengarah JKR Johor, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) Sektor Bangunan, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan, Pengarah Kesihatan Negeri Johor dan Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan (Pembangunan)