Date: Jumaat, Februari 17, 2017
JKR "PELANGGAN DIUTAMAKAN, JANJI DIKOTAKAN"
-Perkhidmatan Terbaik Untuk Rakyat-
 
Satu Majlis Penyerahan Projek Siap Bangunan Pejabat Penerangan Daerah Batu Pahat, Johor  yang telah berlangsung dengan jayanya pada hari Ahad, 12 Febuari 2017 jam 11.00 pagi di tapak projek tersebut.
 
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan dari YBrs. Encik Mohd Yusof Bin Sarion Pengarah Urusan Kontraktor MYS Construction Sdn. Bhd. yang merupakan Kontraktor Utama bagi projek ini. 
 
Selanjutnya majlis diteruskan dengan ucapan oleh YBhg. Dato’ Ir. Hj. Mohd Jamal Bin Sulaiman, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1) yang melahirkan rasa bangga apabila JKR berjaya melakar satu sejarah dengan terbinanya bangunan Pejabat Penerangan Daerah Batu Pahat, Johor. Pejabat tersebut akan menjadi pusat menyebarkan maklumat dan dasar-dasar Kerajaan melalui komunikasi bersemuka, komunikasi media cetak mahu pun media baru.
 
JKR Malaysia telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini pada Tahun 2013 secara konvensional dalaman dengan siling projek sebanyak RM3 Juta. Pemilihan kontraktor dibuat secara tender terbuka dan kontraktor yang berjaya adalah MYS Construction Sdn. Bhd. Dengan kos projek sebanyak RM2,543,325.30. 
 
JKR selaku agensi pelaksana Kerajaan memikul amanah rakyat untuk  memastikan serta memenuhi aspirasi kerajaan agar projek disiapkan dengan sempurna, berkualiti & tepat pada masa sepertimana yang telah dijanjikan.
 
Projek ini telah disiapkan lengkap dengan 3 dalam 1 iaitu Perakuan Siap Kerja (CPC), Perakuan Akaun Akhir (SOFA) dan Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing).
 
Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor  MYS Construction Sdn. Bhd. kerana telah berjaya menyiapkan projek ini pada tarikh siap semasa dengan hasil kerja berkualiti. 
 
Majlis seterusnya adalah ucapan oleh YBhg. Dato’ Samsuni Bin Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kanan Sektor Pengurusan Kementeriaan Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, yang mana beliau telah menyampaikan rasa berpuas hati dengan kualiti pembinaan yang kemas dan baik. 
 
Majlis diteruskan dengan menandatangani Dokumen Penyerahan Projek oleh YBrs. Ir. Haji Alias Bin Mohd. Zin, Jurutera Daerah Batu Pahat dan YBhg. Dato’ Samsuni Bin Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kanan Sektor Pengurusan (KKMM). Majlis seterusnya adalah penyerahan simbolik kunci oleh Kontraktor kepada pihak JKR dan seterusnya kepada Kementeriaan Komunikasi Dan Multimedia Malaysia.
 
Para hadirin kemudiannya membuat lawatan dan tinjauan di sekitar tapak projek sebelum bersurai pada jam 1.00 petang.