Date: Selasa, Mei 31, 2022
Penyerahan Projek Siap kepada pelanggan bagi Projek Klinik Kesihatan (Jenis 7) Kg. Temai, Pekan Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Mei 2022 (Sabtu) bertempat di Perkarangan Klinik Kesihatan (Jenis 7) Kg Temai, Pekan, Pahang.
 
Penyerahan Projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Suhamain Bin Sulan, Jurutera Daerah, JKR Daerah Pekan selaku wakil Pengarah JKR Negeri Pahang kepada YBhg. Datuk Harjeet Singh a/l Hardev Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaksikan oleh En. Mohd Rashidi Bin Yahaya, Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan Pembangunan KKM, Dr. Rozita Halina binti Tun Hussein, Pengarah Bahagian Perancangan KKM, YBhg. Dato’ Nor Azimi binti Yunus, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Shahidan bin Haron, Pegawai Kesihatan Daerah Pekan dan wakil pihak kontraktor.
 
Penyerahan replika kunci oleh En. Afizal Bin Zakaria, Pengarah Urusan Presint Niaga Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama projek ini kepada Jurutera Daerah JKR Pekan dan seterusnya kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai simbolik penyerahan bangunan Klinik Kesihatan Kg Temai Pekan ini.
 
Majlis Penyerahan ini turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Ir. Mohamad Salzeli Bin Moktar, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Projek 3, Cawangan Kerja Kesihatan, YBrs. Ir. Zulkifli Bin Abdul Rahman, Ketua Jurutera Elektrik Negeri, Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Pahang, YBrs. Ir. Che Hashim Bin Awang, Ketua Jurutera Mekanikal Negeri, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Pahang, wakil-wakil HOPT, HODT, pasukan projek JKR Daerah Pekan serta pegawai-pegawai kanan daripada KKM, JKNP dan PKD.
 
Projek Kliniik Kesihatan Jenis 7 Kg. Temai, Pekan Pahang ini merupakan projek yang dilaksanakan secara secara konvensional, dimana Jurutera Daerah Pekan sebagai Pegawai Penguasa. Projek ini telah bermula pada 12 Jun 2019 dan berjaya disiapkan pada 11 April 2022 oleh kontraktor Presint Niaga Sdn Bhd dengan kos kontrak asal sebanyak RM5,388,188.00.
Skop kerja utama bagi projek Klinik Kesihatan Kg. Temai ini adalah membina dan menyiapkan blok-blok utama klinik dan Kuarters kediaman seperti Bangunan Klinik Kesihatan Jenis 7 (Bertiang), Bangunan Empat (4) Unit Kuarters, Satu (1) Unit Bangunan Rumah Pam, Satu (1) Unit Bangunan TNB Substation serta kerja - kerja sekitar.
 
Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) projek ini telah dikeluarkan pada 11 April 2022 dan penyerahan kepada KKM pada 28 Mei 2022 dengan berjaya mencapai 5 dalam 1 iaitu :
1.         Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC)
2.         Lukisan Siap Bina
3.         Penyata Akaun Muktamad (SOFA)
4.         Penjimatan Kos Projek sebanyak ±RM 400 Ribu
5.         Siap Awal Dari Tarikh Siap Semasa
 
Tapak Klinik Kesihatan Kg. Temai ini adalah merupakan tapak asal Klinik Desa Kg. Temai yang terletak lebih kurang 22 km dari Bandar Pekan. Klinik desa ini telah dibuka pada tahun 1963, iaitu telah beroperasi selama lebih 50 tahun di bawah seliaan Klinik Kesihatan Padang Rumbia. Klinik ini terletak di kawasan berhampiran dengan Sg. Pahang yang berisiko dengan bencana banjir. Di samping itu juga, bangunan asal adalah binaan kayu yang uzur dan hanya menempatkan sebuah kuarters sahaja untuk anggota.
 
Oleh yang demikian, dengan terbinanya Klinik Kesihatan (Jenis 7) Kg Temai yang menggantikan Klinik Desa sebelumnya akan memberi impak yang positif kepada banyak pihak dalam usaha Kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan memberikan kemudahan rawatan kesihatan yang selesa dan cepat kepada masyarakat setempat khususnya di Daerah Pekan dengan kemudahan yang lengkap.
 
Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada Bahagian Pembangunan KKM, Bahagian Perancang KKM, JKNP, HOPT 3 Cawangan Kerja Kesihatan, semua HODT, JKR Negeri Pahang, JKR Daerah Pekan dan semua  yang terlibat serta kontraktor utama yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.