Date: Rabu, April 27, 2022
Pelan Strategik JKR Malaysia 2021-2025 telah direkodkan di dalam daftar hak cipta oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).  Pelan Strategik JKR Malaysia 2021-2025 terkandung dalam kategori hak cipta Sastera. Dengan pendaftaran ini, Pelan Strategik JKR Malaysia telah dilindungi berdasarkan Akta Hak Cipta 1987. Daftar Hak Cipta bagi dokumen Pelan Strategik ini adalah yang pertama kalinya diperolehi oleh JKR daripada MyIPO. Sijil Pemberitahuan Hak Cipta yang dikeluarkan oleh MyIPO boleh dijadikan satu keterangan prima facie di mahkamah mengenai butiran yang direkodkan.
 
Sebagai simbolik kejayaan ini, Penaja Pelan Strategik JKR 2021-2025, YBhg. Dato’ Ir. Hj Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, TKPKR (Sektor Infra) telah menyampaikan Sijil Pemberitahuan Hak Cipta kepada YBhg. Datuk Ir. Haji Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya. Sesi ringkas penyerahan sijil pemberitahuan hak cipta ini telah diadakan sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelan Strategik Bil 2/2022.
 
Untuk makluman, pendaftaran ini adalah bagi memelihara harta intelek JKR yang telah dicetuskan melalui percambahan idea dari kalangan warga JKR dan disokong oleh pengurusan atasan jabatan melalui sesi-sesi bengkel yang telah dilaksanakan.
 
Berdasarkan laman web Perbadanan Harta Intelek Malaysia, hak cipta adalah hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Ini adalah satu elemen bagi memastikan harta intelek jabatan terpelihara sepenuhnya selain daripada menyokong usaha pemeliharaan harta intelek di Malaysia.
 
Semoga kejayaan yang diraih ini akan menjadi fenomena pragmatik yang menjadi pemangkin kepada warga JKR untuk terus mengorak langkah kehadapan dengan penuh bermotivasi, bersemangat  dan optimis dalam melunaskan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.