Date: Jumaat, April 26, 2024

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST), bagi Projek Pembinaan Kem 5 Briged Dan Kem 19 Ramd di Kem Paradise Kota Belud, Sabah (Reka Bina) telah berlangsung pada hari Rabu, 24 April 2024 di Dewan Emerald,  Cawangan Kerja Keselamatan, JKR Malaysia, Tingkat 18, Maju Tower, Kuala Lumpur.  Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan iaitu Ir. Maria Binti Marcus. Turut hadir bersama, Encik Fakhrul Alam Bin Supian, selaku Ketua Penolong Setiausaha  (Unit Darat), Bahagian Pembangunan, Kementerian Pertahanan Malaysia (MinDef), Mejar Mohd Aizuddin Bin Ab. Rahman, Pegawai Staf Bina 2 (SO2) MKTD, Ir. Mohd Kamal @ Roshidi bin Shahrum, Jurutera Mekanikal Penguasa Kanan wakil dari Bahagian Pengurusan Projek 2 (BPP2) dan Sr. Alice A/K John Gending, wakil dari Pasukan Projek khas 2 (PPK2).

Pengurus Program projek ini adalah Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan (CKS), Ir. Maria Binti Marcus dan Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) telah dilantik sebagai Pegawai Penguasa. Kaedah perolehan bagi projek ini secara tender terbuka pra  kelayakan terpilih dan kaedah pelaksanaan dilaksanakan secara Reka Dan Bina. Kejayaan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) projek ini adalah dengan kerjasama yang padu di antara HOPT dari Bahagian Pengurusan Projek 2 (BPP2) CKS ,Pasukan HODT JKR, Pihak Pembangunan Mindef (Unit Darat) MINDEF, Markas Tentera Darat (MKTD) dan wakil pengguna akhir.

Pembinaan baru akan melibatkan penempatan bagi dua pasukan iaitu pasukan 5 Briged dan pasukan 19 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) (Mekanize).

Pasukan 5 Briged sekarang ini berpangkalan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu akan ditempatkan semula di Kem Paradise, Kota Belud bagi menjaga pertahanan Pantai Barat dan Utara Negeri Sabah.

Manakala bagi pasukan 19 RAMD yang kini berada di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani pula akan ditempatkan di Kem Paradise bagi menampung keperluan mobiliti dan kuasa tembakan di Malaysia Timur.

Pembangunan ini akan melibatkan 46 skop utama, ini tidak termasuk skop kerja infrastruktur, bangunan sokongan dan kemudahan latihan. 7 skop utama akan berada di Kem 5 Briged dan selebihnya di Kem 19 RAMD.

Pembinaan Kem Paradise ini adalah bagi melengkapkan infrastruktur formasi berdasarkan perancangan strategik tentera darat bagi mempertahankan Timur Laut dan Utara Negeri Sabah, meningkatkan moral dan produktiviti anggota di Kem Paradise serta meningkatkan daya kuasa tembakan di Sabah dan Sarawak.  

Tahniah diucapkan kepada kontraktor yang berjaya iaitu ILMIAH PERDANA SDN. BHD dengan tempoh pelaksanaan projek adalah selama 170 minggu. Tarikh milik tapak projek ini pada 02 Mei 2024 dan jangka siap pada 04 Ogos 2027.

JKR selaku agensi pelaksana kerajaan memikul amanah rakyat untuk memastikan serta memenuhi aspirasi kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dan tepat pada masa sepertimana yang telah dijanjikan. 

p2

p4

p3