Date: Rabu, April 5, 2017
NEW DELHI, 4 April 2017 - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Kompleks Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini. Diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, beliau menandatangani plak perasmian untuk kompleks bernilai RM121 juta itu. Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Hidayat Abdul Hamid, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Dato’ Sri Zohari bin Hj Akob (KSU KKR), Dato’ Sri Ir.Dr. Roslan bin Md.Taha (KPKR), beberapa Menteri Kabinet serta Dato’ Mohd Jamal bin Sulaiman (Pengarah Kanan, CKBA 1).
 
Projek berkeluasan 10,000 meter persegi secara keseluruhannya ini siap dibina pada bulan Jun 2015 bagi Fasa Pertama dan Disember 2016 bagi fasa keseluruhan. Ianya telah disiapkan dalam masa 28 bulan. Dibina di atas tapak seluas 5.3 ekar dalam enklaf diplomatik di ibu negara India, Dhaya Maju Infrastructure Asia Sdn Bhd telah dipertanggungjawabkan sebagai kontraktor reka dan bina.
 
Komponen projek terdiri daripada empat blok termasuk sebuah pejabat Canseri, sebuah dewan serba guna, Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi dan sebuah pangsapuri 20 unit untuk staf kakitangan Malaysia dan menaiktaraf rumah kakitangan tempat sediada sebanyak 8 unit.
YAB Perdana Menteri memaklumkan bahawa Kompleks Suruhanjaya Tinggi New Delhi ini adalah salah satu daripada pejabat perwakilan yang terbaik Malaysia di seberang laut. Sebelum ini kakitangan Suruhanjaya Tinggi tinggal di luar kedutaan. Dengan siapnya bangunan baharu ini, pegawai-pegawai daripada agensi Kerajaan Malaysia yang lain seperti Jabatan Perdana Menteri, MINDEF, Jabatan Imigresen, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mula beroperasi dari sini dengan fasiliti yang lebih baik dari sebelumnya.
 
Selain daripada melaksanakan projek-projek pembangunan bangunan dan infrastruktur di dalam negara, JKR Malaysia turut bertanggungjawab melaksanakan projek-projek Kementerian Luar Negeri di luar negara, di antaranya; Kompleks Suruhanjaya Tinggi Malaysia Di Islamabad (siap Ogos 2012), Pakistan, Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Cambodia (siap Oktober 2010), Projek Pembaikan Dan Pengubahsuaian Bangunan Canseri Kedutaan Besar Malaysia Di Manila, Filipina (siap Ogos 2012), Pembaikan dan Rawatselia Kompleks Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand (siap Mac 2011) dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China.(siap 2005).
 
Projek Pembinaan Bangunan Canseri Dan Kediaman Rasmi Kedutaan Besar Malaysia Di Moscow, Rusia, masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada September 2017. Semua projek-projek tersebut dilaksanakan melalui Cawangan Kerja Bangunan Am, Ibu Pejabat JKR Malaysia.