Date: Selasa, April 18, 2017
Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya bagi bulan April 2017 dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah telah diadakan pada 18 April 2017 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid Kementerian Kerja Raya. Perhimpunan bulanan ini telah dihadiri oleh YB Menteri Kerja Raya, YB Timbalan Menteri Kerja Raya, kepimpinan tertinggi Kementerian Kerja Raya, kakitangan  Warga Kementerian dan Agensi-Agensi di bawahnya. Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Sri Mohd Jamidan bin Abdullah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
Majlis bermula sekitar jam 8.45 pagi dengan Ucapan YBhg. Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM. Di dalam ucapannya, beliau memuji usaha dan komitmen Kementerian Kerja Raya dalam memerangi gejala rasuah dengan menganjurkan Majlis Ikrar Bebas Rasuah. Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada kepimpinan KKR khususnya YB Menteri Kerja Raya yang telah mengambil langkah yang berani dan progressif dalam usaha memerangi gejala rasuah. Beliau juga menyeru seluruh penjawat awam agar menyokong SPRM dalam usaha membenteras gejala rasuah.
 
Majlis diteruskan dengan Ucapan YB Menteri Kerja Raya dan antara intipati ucapan beliau adalah:
 
1. Beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh warga KKR yang telah memulakan tahun 2017 dengan mencipta beberapa kejayaan seperti penyerahan projek siap Naiktaraf Jeti dan Bangunan Terminal, Pembinaan Bangunan CIQ dan Jeti Baharu, Langkawi Kedah oleh JKR, memenangi anugerah ' MINO Best Project Award 2017' untuk projek Central Spine Road (CSR) Pakej 3 oleh JKR dan juga mencatat beberapa pencapaian yang memberangsangkan dalam usaha mentransformasikan industri pembinaan melalui inisiatif  CITP.
 
2. Beliau turut mengingatkan seluruh warga KKR agar sentiasa menjaga etika, memelihara integriti dan sentiasa berusaha menjadikan media sosial sebagai medium untuk meningkatkan produktiviti dan hasil kerja ke arah yang lebih baik dan melangkaui kebiasaan serta mendahulukan dan mengutamakan tugas yang diamanahkan berbanding perkara yang tidak berfaedah dan kepentingan diri sendiri.
 
3. Beliau melahirkan rasa bersyukur dan berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh KKR sehingga kini, iaitu satu perkara penting yang menjadi formula kejayaan mana-mana organisasi ialah faktor integriti. Program Ikrar Bebas Rasuah yang dianjurkan oleh KKR ini sudah pasti dapat meningkatkan kesedaran dan menerap nilai integriti kepada warga kerja KKR dan seterusnya mampu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
 
Beliau mengakhiri ucapan dengan mempelawa warga KKR untuk sama-sama meneruskan usaha gigih ini dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. 
 
Majlis seterusnya adalah sesi Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh YBhg. Ketua Setiausaha KKR dan diiringi oleh ketua-ketua agensi KKR dan disusuli dengan upacara menandatangani lafaz Ikrar dan penyerahan lafaz ikrar tersebut kepada YBhg. Timbalan Pesuruhjaya SPRM.
 
Majlis berakhir dengan sesi menandatangani lafaz ikrar oleh ketua-ketua unit, KKR, Pengarah-pengarah cawangan JKR dan Ketua-ketua bahagian CIDB dan LLM.