Date: Selasa, Februari 28, 2017
Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya telah diadakan pada 28 Februari 2017 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid Kementerian Kerja Raya. Perhimpunan bulanan ini telah dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Kementerian Kerja Raya, kakitangan  Warga Kementerian dan Agensi-Agensi di bawahnya. Teks Ucapan YB Menteri Kerja Raya telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri  Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya (KKR).
 
YB Menteri merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi komitmen tinggi dan memainkan peranan yang sewajarnya sehingga membawa kejayaan kepada pencapaian skor 112%  bagi KPI YB Menteri Kerja Raya sehingga 31 Disember 2016 yang dikategorikan sebagai mencapai sasaran. Untuk tahun 2017, KPI yang ditetapkan adalah berjumlah sembilan (9), merangkumi pencapaian di bawah Ministerial Key Result Area (MKRA) dan National Key Economics Area (NKEA). Beliau juga menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan KPI tersebut sama ada di peringkat Kementerian dan Agensi agar menyahut cabaran dan terus mempertingkatkan momentum bagi mencapai sasaran yang ditetapkan di samping menambah baik pelan tindakan dan inisiatif masing-masing. 
Dalam ucapan tersebut juga, YB Menteri menekankan agar setiap pelaksanaan kerja yang dilaksanakan haruslah memfokuskan kepada produktiviti sebagai pencapaian atau hasil kerja dengan merujuk kepada tiga definisi produktiviti iaitu: 
 
(i) Hasil kerja yang sama tetapi dengan kos yang lebih rendah; 
(ii) Hasil kerja bertambah dengan dengan kos yang sama; dan 
(iii) Hasil bertambah dengan kos yang berkurangan. 
 
Ketiga-tiga elemen tersebut merupakan panduan kepada pelaksanaan KPI 2017 demi memastikan sembilan (9) KPI Menteri Kerja Raya yang merangkumi MKRA dan NKEA dapat mewujudkan suasana feel good factor kepada rakyat.
 
Turut disentuh adalah Teras Strategik Ke-5 RMKe-11, Memperkukuh Infrastruktur Bagi Menyokong Pertumbuhan Ekonomi. Beberapa projek berimpak tinggi akan diteruskan pelaksanaannya iaitu:
 
a) Lebuh Raya Pan Borneo; 
b) Central Spine Road;
c) Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai;
d) Lebuhraya Pantai Barat (WCE);dan
e) Rangkaian Jalan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (RAPID) Johor.
 
Bagi melaksanakan projek-projek yang dirancangkan ini, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.896 bilion di bawah Bajet Pembangunan bagi Rolling Plan 2 (RP2) RMKe-11 untuk tahun 2017-2018.
 
Sebagai penjawat awam tentunya kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan tekanan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.  Antaranya melibatkan isu-isu kesihatan mental seperti tekanan perasaan, kemurungan dan lain-lain isu yang berkaitan. Justeru, kesedaran dan maklumat berkaitan perkhidmatan psikologi dan kesihatan mental amat penting bagi Warga Kerja Raya demi menjamin kesihatan mental sentiasa di tahap yang tinggi. Bagi menangani perkara seumpama ini, Kementerian Kerja Raya telah melantik ahli AKRAB dalam kalangan warga kerja KKR yang terlatih dan bermatlamat dalam memberi perkhidmatan sokongan kepada warga Kerja Raya melalui bimbingan yang berterusan untuk mencegah kecelaruan mental yang semakin meningkat pada hari ini. Ahli AKRAB merupakan wakil kepada Cawangan Pengurusan Psikologi dalam menyebar luas kefahaman tentang pentingnya perkhidmatan psikologi sepertimana yang dituntut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 Tahun 2005.
 
YBhg. Dato' Sri KSU turut menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan YB Menteri Kerja Raya kepada semua pihak di KKR yang terlibat menjayakan program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur KKR yang telah berlangsung pada 23 hingga 25 Februari 2017. Melalui program jelajah ini kita dapat memberi pembaharuan imej dan perspektif positif (refreshment outlook) terhadap Jalan Persekutuan yang selama ini dianggap sebagai laluan alternatif kepada lebuhraya bertol. Adalah menjadi hasrat KKR supaya Jalan Persekutuan dianggap sebagai jalan utama oleh masyarakat. 
 
Di akhir ucapan tersebut, turut dimaklumkan bahawa Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Dan Teknologi, Jabatan Kerja Raya (JKR) atau CREaTE, telah mula beroperasi pada 1 September 2016. Penubuhan CREaTE adalah bertepatan dengan aspirasi Jabatan Kerja Raya untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia dan pembangunan modal insan yang kreatif dan inovatif serta berteknologi terkini, selari dengan hasrat kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP).
 
CREaTE adalah umpama jantung baru bagi JKR untuk memantapkan modal insan dengan mengukuh dan memperbanyakkan Subject Matter Experts (SME) untuk terus kekal relevan. Selain itu, melalui Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), ia juga merintis jalan kecemerlangan, membudayakan inovasi dan kreativiti dan seterusnya akan menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi. R&D akan merancakkan kemampanan dalam pengurusan pembangunan infrastruktur dan menjalankan pengujian dan akreditasi sebagai pembudayaan NBOS dengan agensi berkenaan.
 
Sebagai penutup ucapan, YB Menteri menyeru kepada semua warga Kerja Raya agar berani dan tidak gentar dalam mengharungi cabaran yang lebih ekstrim tahun demi tahun.