Date: Rabu, Ogos 1, 2018

Program Persada Minda JKR 2018 bertemakan “Lensa Kejayaan; Kearifan Silam, Pencetus Ilham” telah berlangsung dengan jayanya pada 1 Ogos 2018, Selasa bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.

Program yang berlangsung selama dua (2) hari ini bermula 1 – 2 Ogos 2018 telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia dan turut dihadiri oleh pegawai - pegawai kanan JKR Ibu Pejabat dan Negeri.

Penganjuran kali ke sembilan (9) ini merupakan penganjuran bersama oleh Unit Enterprise Content and Knowledge Management (ECKM), CPAB dan Bahagian Komunikasi Korporat, CDPK. Program ini telah menarik minat seramai 550 orang peserta terdiri daripada warga Jabatan Kerja Raya meliputi Ibu Pejabat, Negeri, Wilayah dan Daerah serta pelbagai agensi kerajaan yang lain seperti Arkib Negara Malaysia, Jabatan Insolvensi Negara, Perpustakaan Negara Malaysia dan Institut Tadbiran Awam Negara.

Majlis dimulakan dengan Ucapan Aluan oleh Pengarah Kanan CPAB, YBrs. Ir. Ab Hamid bin Hj. Md Daud dan seterusnya Ucapan Perasmian Persada Minda JKR tahun 2018 oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha. Dalam ucapan perasmian, DS KPKR mengharapkan program ini berjaya mencapai matlamat untuk membina masyarakat berilmu di kalangan warga JKR dengan penganjuran program pembudayaan ilmu secara berterusan.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan khas kepada penyumbang pembudayaan ilmu JKR. Antara kategori yang dinamakan adalah pengguna dan moderator JCoP paling aktif, kumpulan Communities of Practice paling aktif, kumpulan Penyumbang JPedia yang terunggul, pemenang Pertandingan Foto Program Jom Baca 10 minit dan juga peminjam bahan bacaan terbanyak di perpustakaan JKR.

Majlis disusuli dengan pelancaran modul e-Learning JKR yang dibangunkan secara usaha sama oleh Unit Enterprise Content and Knowledge Management (ECKM), CPAB dengan Pusat KecemerIangan Kejuruteraan & Teknologi (CREaTE) di mana bahan e-learning ini boleh dicapai melalui pautan www.epsa.gov.my (link is external) mulai bulan Oktober 2018. Tiga (3) modul e-learning yang dibangunkan adalah Value Management Awareness In Public Projects oleh CPAB, Jalan Rosak : Apa yang perlu anda tahu dan Reinforced Concrete : Workmanship Issues at Site During Construction oleh CREaTE. Di samping itu, terdapat juga tiga (3) video Expert Tech Talk iaitu Concrete Durability oleh Dr. Lim Char Ching, Spesifikasi Kerja Konkrit oleh Ir. Mohd Noor Azudin bin Mansor dan Penilaian Tuntutan Akibat dari Lanjutan Masa oleh Sr Amran bin Mohd Majid.

Pelancaran buku bertajuk “Rumah Teres dan Keserasian Budaya Masyarakat Malaysia” yang ditulis oleh Nik Farah Elina Nik Ramzi Shah dari Cawangan Arkitek dan Professor Dr. Mohd Tajuddin bin Mohd Rasdi dari UCSI University turut disempurnakan semasa perasmian.

Seterusnya, DS KPKR juga sempat meluangkan masa untuk meninjau  pertandingan mobilegrafi selain melawat ke ruang pameran yang disediakan sebelum meninggalkan majlis.

Sesi perkongsian ilmu pada hari pertama diteruskan dengan sesi ulasan buku bertajuk “Rumah Teres dan Keserasian Budaya Masyarakat Malaysia” yang disampaikan oleh Professor Dr. Mohd Tajuddin bin Mohd Rasdi. Seterusnya pembentangan berkaitan Pengenalan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia yang telah disampaikan oleh Pn. Raden Lailani binti Raden Othman yang mana telah menerangkan berkenaan kebankrapan dan implikasi kebankrapan terutama sebagai penjawat awam.

Pada sebelah petangnya, program perkongsian ilmu diteruskan bersama seorang penulis buku Tamadun Alam Melayu iaitu En. Mohd Arof bin Ishak bertajuk “Menyusuri Asal Usul dan Migrasi Bangsa”. Majlis berakhir pada jam 4.00 petang dan bersambung esok.