Date: Sabtu, Julai 7, 2018

Persidangan Pegawai Kanan JKR Malaysia (SOC) Tahun 2018 bertemakan “ASPIRASI JKR PADA ERA REVOLUSI INDUSTRI (IR) 4.0” diadakan pada 7 - 9 Julai 2018 bertempat di Alor Setar, Kedah. Tema ini signifikan dan bertepatan dengan Aspirasi Pegawai JKR Malaysia dalam meneroka masa depan untuk menempuh dan mendepani IR 4.0 yang bakal tiba.

Persidangan yang bermula pada 7 Julai dan akan berakhir pada 9 Julai 2018 melibatkan penyertaan seramai 400 orang pegawai-pegawai kanan JKR yang terdiri daripada Pengarah-Pengarah Cawangan dan Negeri, Jurutera Daerah,  Pegawai Kader yang mengetuai cawangan, bahagian dan unit dari seluruh negara.

Objektif utama penganjuran persidangan tahunan ini adalah platform kepada pegawai – pegawai kanan JKR untuk berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman, kepakaran serta menjadi medan perbincangan bagi isu dan perkara berkaitan Jabatan di samping saling bertukar buah fikiran dan pandangan serta mencetus idea - idea baru lagi inovatif dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme demi mencapai kecemerlangan penyampaian jabatan.

HARI PERTAMA / 7 JULAI 2018

Majlis Perasmian Persidangan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah JKR Negeri Kedah iaitu YBrs. Ir. Haji Wan Mohamad Hilmi bin Wan Mahmud selaku tuan rumah pada kali ini, disusuli dengan ucapan oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, manakala ucapan perasmian disempurnakan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya.

Turut hadir sama pada majlis perasmian ini ialah YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, serta pegawai – pegawai kanan Jabatan Kerja Raya. Antara intipati ucapan YB Menteri adalah;

  1. Revolusi Industri 4.0
  2. Polisi perolehan Kerajaan Pakatan Harapan
  3. Memperkasakan Pelaksanaan Building Information Modeling (BIM)

Anugerah JKR Malaysia 2018 telah disampaikan oleh YB Menteri Kerja Raya mengikut kategori yang ditetapkan. Berikut adalah senarai pemenang Anugerah JKR Malaysia 2018 :







Majlis diteruskan dengan Pelancaran Sistem JTruss iaitu sistem permohonan dan kelulusan pembekal sistem kekuda bumbung projek – projek bangunan secara atas talian oleh JKR Malaysia, disusuli dengan pelancaran lagu baharu JKR bertajuk Visi Dituju dan pelancaran tudung JKR yang diperagakan oleh staf JKR. Perasmian dan Lawatan Pameran oleh YB Menteri diadakan sejurus selepas majlis perasmian tamat.

Pada sebelah petang, majlis diteruskan dengan sesi pembentangan kertas kerja seperti berikut;

  1. Pembentangan Minit Mesyuarat SOC 2017
    Pembentang : En. Abdul Latif bin Shariff (Bahagian Komunikasi Korporat, CDPK)
  2. Tajuk kertas kerja : Making Sense Of The Fourth Industrial Revolution
    Pembentang : En. Rushdi bin Abdul Rahim (Malaysian Industry – Government Group for High Technology-MIGHT)
  3. Tajuk kertas kerja : UMW IIoT (Industrial Internet of Thing)
    Pembentang : Hj. Ghazali bin Juhari (UMW)
  4. Tajuk kertas kerja : Malaysia International Trade Exhibition Centre MITEC – The Biggest Exhibition Facility In Malaysia
    Pembentang : Ir. Zulkifli B. Ahmad (Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, JKR Malaysia)

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.20 petang dan akan bersambung esok.