Date: Jumaat, Disember 6, 2019

Pertandingan Futsal sempena Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) berlangsung pada 1 Disember 2019, di Uptown Sports, Bangi, Selangor telah dianjurkan oleh Cawangan Kejuruteraan Mekanikal. Satu (1) kategori telah dipertandingkan iaitu kategori terbuka lelaki dengan penyertaan terdiri daripada agensi kerajaan, institusi pendidikan dan syarikat swasta yang terlibat dalam bidang teknikal. Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk mempromosikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2019 pada 3-4 Disember 2019 di TM Convention Center (TMCC), Kuala Lumpur.

Sebanyak 20 pasukan telah menyertai pertandingan ini. 17 pasukan agensi kerajaan terdiri daripada pasukan Ibu Pejabat JKR, yang diwakili oleh CDPK, CKM, CA, CKG, CKK, JKR Putrajaya dan JKR Woksyop Persekutuan, juga disertai oleh Majlis Perbandaran Sepang, PDRM, PKNS, DBKL, Majlis Perbandaran Selayang dan JPS Johor. Manakala 3 pasukan lagi adalah daripada agensi swasta iaitu dari Jurutera Perunding AZFA, Daikin Malaysia Sdn. Bhd. dan KCJ Engineering Sdn. Bhd. Seramai 16 orang urus setia daripada Cawangan Kejuruteraan Mekanikal terlibat di dalam penganjuran pertandingan futsal ini. Antara objektif yang disasarkan melalui pertandingan ini adalah seperti berikut:

  1. Mempromosikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2019 kepada orang ramai di seluruh negara.
  2. Menggalakkan aktiviti riadah dan bersukan kepada seluruh staf agensi berkaitan bidang teknikal seluruh negara seterusnya menerapkan budaya sihat di kalangan kakitangan.
  3. Menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat kesukanan yang tinggi, bantu-membantu serta semangat berpasukan dan meningkatkan pengetahuan sukan di kalangan peserta.

Majlis Perasmian Pertandingan Futsal sempena HPTN 2019 dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Ar. Zairul Azidin bin Badri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) (Sektor Bangunan) pada jam 8.30 pagi, diikuti dengan perasmian pertandingan gimik tendangan bola ke gawang gol oleh beliau sendiri dan semua tetamu kehormat yang hadir. Antara tetamu yang turut hadir ialah YBhg. Dato’ Ir. Hj. Zulkefly bin Sulaiman, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Awam Dan Struktur, YBrs. Ir. Razdwan bin Kasim, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, YBrs. Pn. Mastura binti Shaari, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, YBrs. Ir. Mamat Rohizan bin Abdullah, Pengarah Rekabentuk Cawangan Kejuruteraan Mekanikal dan YBrs. Ir. Zulkifli bin Abdul Rashad, Pengarah Khidmat Pakar Cawangan Kejuruteraan Mekanikal.

Pertandingan futsal telah dimulakan dengan taklimat kepada semua pasukan oleh ketua pengadil pada jam 9.00 pagi seterusnya perlawanan pertama dimulakan dengan disaksikan oleh semua tetamu kehormat. Secara keseluruhannya, sebanyak 48 perlawanan telah berlangsung yang melibatkan 40 perlawanan di peringkat kumpulan, 4 perlawanan suku akhir, 2 perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir. Semua perlawanan telah diadili oleh 8 orang pengadil yang berpengalaman dan pertandingan berjalan dengan lancar dan teratur. Pertandingan futsal ini telah berakhir pada jam 2.15 petang dan pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Desperado FC) telah dinobatkan sebagai juara pertandingan. Gelaran naib juara telah disandang oleh pasukan daripada Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang), tempat ketiga oleh pasukan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tempat keempat oleh pasukan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis penutup pada jam 2.45 petang, telah dimulakan dengan ucapan penutup oleh YBhg. Dato’ Dr. Ong Gua Pak, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya dan diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta sesi bergambar. Pertandingan Futsal Sempena Sambutan HPTN 2019 telah berakhir pada jam 3.30 petang. Secara keseluruhannya, pertandingan ini telah berlangsung dengan lancar dan jayanya. Semoga aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan memberi manfaat kepada semua yang terlibat.