Date: Khamis, Mei 21, 2020

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah rahmat dan izinNya jua kita masih diberi peluang untuk menyambut bulan Ramadan, bulan yang penuh barakah. Setinggi kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana masih dipanjangkan usia dan dikurniakan kudrat untuk menyempurnakan ibadah puasa pada tahun ini walaupun negara kita malahan seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19. Semoga ibadah yang kita laksanakan sepanjang bulan yang penuh kemuliaan ini mendapat keberkatan dan redhaNya.

Ramadan Kareem akan sampai di penghujungnya tatkala Syawal menjelang tiba. Pandemik COVID-19 telah mengubah tradisi umat Islam seluruh dunia dalam menjalani ibadah puasa. Ramadan kali ini disambut dalam suasana norma baharu yang pastinya amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Tiada lagi solat tarawih berjemaah, tadarus Al-Quran, moreh di masjid dan surau serta kemeriahan bazar Ramadan. Walau bagaimanapun, saya percaya suasana baharu ini bukan penghalang untuk kita menunaikan ibadah puasa dengan sesempurna mungkin. Kita patut bersyukur kerana masih dapat bersama-sama keluarga tersayang meraikan 1 Syawal.

Sepertimana kita sedia maklum, ziarah perayaan untuk Hari raya Aidilfitri hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dan terhad kepada ahli keluarga terdekat serta tidak melebihi 20 orang sehari bergantung kepada saiz kediaman. Dalam menyambut kemeriahan Aidilfitri, setiap individu perlu memainkan peranan dalam memastikan amalan langkah-langkah pencegahan yang digariskan dipatuhi seperti penjarakan sosial 1 meter, kerap mencuci tangan dan membawa bersama cecair pembasmi kuman dan gunakan pelitup muka. Ini penting sebagai usaha membendung penularan wabak, seterusnya dapat memutuskan rantaian virus COVID-19.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga kerja Jabatan Kerja Raya khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Sempena Aidilfitri ini, marilah kita saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan jalinan ukhuwah sesama kita. Walaupun tidak dapat beraya di kampung, keindahan Aidilfitri tetap dapat dirasai dan dihayati sebagai tanda kemenangan setelah sebulan bermujahadah.

 

YBrs. Ir. HJ ZULAKMAL BIN HJ SUFIAN

Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra)
Menjalankan tugas Ketua Pengarah Kerja Raya

 

#kitajagakita #staysafe #kitapastimenang