Date: Jumaat, April 5, 2024

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Segala puji dan syukur hanya bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta ahli keluarganya, sahabat-sahabat baginda dan para tabi’in.

Alhamdulillah, kerana dengan limpah izinNya jua, kita masih dipanjangkan usia dan diberikan nikmat untuk menghayati dan menjalani ibadah puasa di bulan yang penuh rahmat dan pengampunan, Ramadan Al-Mubarak. Semoga ibadah yang kita laksanakan di sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini mendapat keberkatan dan redaNya, In shaa Allah.

Usai sebulan menyambut Ramadan, kini tiba masanya untuk kita meraikan kemenangan. Kemenangan dalam erti kata mujahadah menahan segala keinginan mahupun kemahuan. Setinggi-tinggi kesyukuran kita masih berpeluang untuk bersama-sama meraikan 1 Syawal dengan keluarga tersayang. Ciptalah memori terindah agar ia sentiasa terpateri di sanubari serta menjadi kenangan abadi.

Namun begitu, dalam kemeriahan menyambut Syawal, adalah menjadi kewajipan kita untuk membantu pihak berkuasa memastikan kelancaran lalu lintas agar perjalanan pengguna jalan raya selesa dan selamat tiba ke destinasi yang dituju. Bagi mencapai tujuan ini, jabatan telah mengambil langkah-langkah awal untuk meningkatkan keselamatan dan mengadakan program pemantauan jalan raya sewajarnya bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Menerusi Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri, segala kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan raya akan dihentikan sementara bermula 8 April hingga 14 April 2024 kecuali kerja-kerja kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan. Selain itu, JKR Malaysia juga bersiap siaga dengan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dan menubuhkan pasukan peronda daripada JKR Negeri dan Daerah, sepertimana yang digariskan untuk mempertingkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Mengambil kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga kerja Jabatan Kerja Raya khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Sempena bulan yang mulia ini, marilah kita saling bermaaf-maafan, eratkan ukhuwah sesama kita kerana ia merupakan benteng kekuatan sesebuah organisasi dan keluarga. 

Pesan saya, pandulah dengan berhemah, patuhi had laju dan papan tanda demi keselamatan dan kesejahteraan bersama. Biar lambat asal selamat agar hajat kita pulang ke kampung halaman meraikan Syawal yang dinanti bersama orang tersayang dimakbulkan olehNya.

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ وَ تَقَبَّلْ ياَ كَرِيْمُ

"Semoga Allah menerima (puasa dan amal) dari kami dan (puasa dan amal) dari kalian"

Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Dato' Ir. Hj. Badioezaman bin Ab Khalik

Pautan video Hari Raya Aidilfitri JKR Malaysia

“Kepulangan Yang Dinanti”: https://www.youtube.com/watch?v=bB46cpFRivU (link is external)

p1