Date: Rabu, Mei 12, 2021

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita masih diberi kesempatan untuk menyambut Ramadhan Ya Kareem tahun 2021. Bulan Ramadhan tahun ini telah tiba di penghujung, tatkala Syawal bakal menjengah tiba. 

Saya percaya kita semua gigih dan bersemangat mengimarahkan bulan Ramadhan dengan sebaik-baiknya seperti solat sunat tarawih, bertadarus Al-Quran dan bersedekah dalam bulan yang penuh barakah ini, walaupun negara masih lagi berdepan dengan penularan pandemik Covid-19. Semoga amal ibadah yang kita laksanakan diterima oleh-Nya dan saya berharap kita semua bersabar menerima ketetapan ini dengan hati yang terbuka dan berdoa agar penularan wabak Covid- 19 ini dapat ditangani dengan jayanya. 

Sepertimana sedia maklum, negara kita masih lagi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Kerajaan belum membenarkan pergerakan rentas negeri ketika ini. Saya memahami ramai yang bersedih kerana ini merupakan tahun kedua tidak dapat menyambut Aidilfitri  bersama-sama ibu bapa dan sanak saudara di kampung. Namun begitu, dengan pembudayaan norma baharu, kita masih boleh meraikan 1 Syawal dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah dan membuat panggilan video.

Kelazimannya, setiap kali tiba musim perayaan, Program Op Selamat akan dilaksanakan sebagai langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. Dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19, Kerajaan telah mengumumkan bahawa pergerakan rentas negeri dan daerah  bagi Sambutan Aidilfitri pada tahun ini adalah tidah dibenarkan. Walau bagaimanapun, bagi mengurangkan risiko kemalangan, antara langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil adalah dengan menjalankan pemeriksaan ke atas pengurusan trafik di tapak kerja-kerja penyenggaraan jalan raya dan memastikan pengurusan trafik di tapak dalam keadaan sempurna.  

Dalam kemeriahan berhari raya, ingin juga saya berpesan kepada semua agar sama-sama mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal serta mencuci tangan menggunakan air atau hand sanitizer. Ini sebagai salah satu usaha untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19. Sama-samalah kita membantu kerajaan dalam usaha melandaikan keluk pandemik (flattening the curve) dan mengembalikan angka sifar jangkitan dalam negara. 

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI , MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada semua warga Jabatan Kerja Raya (JKR) dan seluruh rakyat Malaysia. Marilah kita saling bermaaf-maafan dan meraikan kedatangan Syawal dengan penuh kesyukuran dan hati yang gembira. Dalam kemeriahan berhari raya, sama-samalah kita mengamalkan pembudayaan norma baharu.

#STAYSAFE #KITAJAGAKITA.