Date: Isnin, November 25, 2024

Pada 22-24 November 2024 (Jumaat-Ahad), Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) selaku Sekretariat Induk telah menganjurkan Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim pada hari kedua, 23 November 2024 (Sabtu) dan turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan. Dengan tema “MADANI di hati, rakyat disantuni”, program ini bertujuan untuk memberi ruang kepada rakyat agar lebih memahami usaha-usaha dan inisiatif Kerajaan MADANI, serta usaha reformasi perkhidmatan awam yang telah diterjemahkan untuk memberi manfaat secara langsung kepada
rakyat.

Penglibatan kementerian dan agensi kerajaan dalam program ini memainkan peranan penting dalam berkongsi serta memetakan success stories sepanjang dua tahun bersama Kerajaan MADANI. Pelbagai aktiviti telah diadakan untuk memastikan penglibatan masyarakat dalam proses reformasi dan pembangunan negara seperti sesi interaktif bersama agensi kerajaan di reruai pameran yang menampilkan perkhidmatan terpilih yang memberi manfaat kepada rakyat. Aktiviti yang dirangka ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memberi akses kepada rakyat untuk lebih memahami dan mengambil manfaat daripada inisiatif kerajaan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah berkolaborasi dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di bawah satu (1) reruai. Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) sebagai Urus Setia JKR Malaysia telah bekerjasama dengan petugas reruai JKR yang terdiri daripada Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Cawangan Kejuruteraan Cerun dan Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur bagi memastikan program ini berjalan lancar.  Pelbagai perkongsian informasi telah dipamerkan melalui brosur/risalah, poster, video, dan replika sepertimana berikut: -

  1. Bingkisan Pencapaian JKR Malaysia Tahun 2023-2024;
  2. Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge);
  3. Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan Sistem Pengurusan Bencana (eBencana);
  4. Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2024; dan
  5. Simposium Cerun Negara 2025.

Sepanjang tiga (3) hari program ini berlangsung, reruai KKR telah dikunjungi sekitar 3,500 orang pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut universiti, pemain industri pembinaan, orang awam, kakitangan agensi awam dan swasta.

#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat