Date: Khamis, September 1, 2022

Program 4th JKR Research Colloquium (JKRRC) 2022 telah berlangsung selama dua (2) hari bermula dari 9 Ogos 2022 (Selasa) hingga 10 Ogos 2022 (Rabu) dengan jayanya. JKRRC adalah satu pentas yang diwujudkan khas untuk para penyelidik JKR, daripada pelbagai disiplin kejuruteraan, arkitek dan ukur bahan, membentangkan hasil penyelidikan yang telah mereka jalankan. Hasil penyelidikan adalah termasuk produk inovasi, harta intelek dan pelbagai dokumen teknikal yang berpotensi untuk menjadi solusi teknikal atau inovasi yang dapat memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan.

 

Bertemakan “Shaping The Future with Research, Development, and Innovation”, sebanyak 21 kertas penyelidikan dan 21 poster telah dibentangkan sepanjang dua hari program ini berlangsung. Penyertaan pembentangan adalah daripada penyelidik JKR pelbagai disiplin kejuruteraan, disiplin Arkitek, disiplin Ukur Bahan dan rakan kerjasama penyelidikan JKR iaitu Universiti Malaya, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kuala Lumpur dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

 

Program 4th JKRRC 2022 ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra, YBrs. Sr Amran bin Mohd Majid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Pakar, YBrs. Ir. Rahmat bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Bangunan serta Pengarah-Pengarah Kanan dan Pengarah-Pengarah Cawangan dan Negeri bagi menjayakan program ini.

 

Pengiktirafan juga telah diberikan bagi lima (5) kategori iaitu manuskrip terbaik, pembentangan terbaik, poster terbaik, penyelidik harapan serta penyelidik terbaik yang mana telah dinilai oleh lima (5) orang panel penilai yang berkepakaran diketuai oleh YBhg. Datin Ar. Yong Razidah binti Rashid (Menjalankan Tugas Pengarah Kanan Cawangan Arkitek), YBhg. Dato’ Ir. Dr. Balamurugan A/L A Gopal (Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan), YBrs. Ir. Dr. Megat Zuhairy bin Megat Tajudin (Pengarah Kejuruteraan Pakar ICT, Cawangan Kejuruteraan Elektrik), YBrs. Ir. Ts. Dr. Tuan Suhaimi bin Salleh (Jurutera Mekanikal Penguasa JKR CREaTE), Ybrs. Sr Dr. Khairil Hizar bin Md Khuzaimah (Juruukur Bahan Penguasa, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu).

 

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah.

Semoga perkongsian dapatan penyelidikan di JKRRC ini dapat membawa kepada keberhasilan dapatan penyelidikan JKR ke fasa inovasi dan pengkomersialan supaya penyelidikan dalam organisasi awam memberikan impak maksima kepada penyampaian perkhidmatan jabatan sekaligus memartabatkan profesion teknikal di mata masyarakat dan stakeholders.\