Date: Jumaat, Julai 14, 2023

JKR Malaysia telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program Corporate Social Responsibility (CSR) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) JKR Malaysia Bersama Komuniti pada 6 Julai 2023 (Khamis) di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Batu Gajah, Perak.

Bersempena dengan itu, Sesi Penyerahan Pelan Laluan Kecemasan bagi Program Corporate Social Responsibility (CSR) KKP JKR Malaysia bersama komuniti di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Batu Gajah, Perak oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Masri Bin Baharuddin, Pengarah CDPK kepada Pegawai Daerah Kinta, Tuan Meor Hezbullah bin Meor Abd Malik.

Lanjutan daripada Lawatan Teknikal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Premis pada 14 April 2023 yang lalu, Sesi Taklimat dan Perkongsian Khidmat Kepakaran Berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Premis bagi Masjid Toh Puan Besar Hatijah telah disampaikan oleh Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ir. Hj. Abdul Rani Bin Harun dan kebanyakan penemuan yang ditemui telah diambil tindakan untuk penambahbaikan.

Objektif program CSR KKP ini adalah bagi tujuan berkongsi khidmat kepakaran teknikal dan pengalaman JKR dalam pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) dengan premis-premis terpilih seluruh Malaysia seperti masjid dan sekolah dan seterusnya mengurangkan risiko berlakunya kemalangan serta menjadikan premis – premis tersebut sebagai tempat yang selamat dan sihat. Program ini dilaksanakan secara 2 peringkat melibatkan pemeriksaan aspek KKP di premis tersebut di peringkat pertama dan disusuli dengan taklimat dan perkongsian khidmat kepakaran berkaitan KKP dan cadangan penambahbaikan di peringkat kedua.

Syabas JKR Malaysia atas sikap keprihatinan dan penzahiran tanggungjawab dan khidmat sosial kepada komuniti melalui perkongsian kepakaran selari dengan visi JKR sebagai pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek serta perkhidmatan kejuruteraan.