Date: Jumaat, Julai 19, 2024

JKR Malaysia telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program Corporate Social Responsibility (CSR) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) JKR Malaysia bersama Komuniti pada 18 Jun 2024 (Khamis) di Masjid Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu. Program CSR KKP ini telah bermula pada tahun 2023 dan Masjid Kampung Seberang Takir merupakan masjid yang pertama dipilih bagi tahun ini. 

Bersempena itu, satu sesi penyerahan Pelan Laluan Kecemasan iaitu simbolik kepada Majlis Pelancaran Program CSR KKP JKR Malaysia bersama komuniti setempat telah berlangsung dan diserahkan oleh YBrs. Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ir. Haji Abdul Rani Bin Harun bersama-sama YBrs. Ketua Penolong Pesuruhjaya (Bahagian Pengurusan Masjid), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Ustaz Nik Zulhaiza Bin Ismail kepada YBrs. Pengerusi Masjid Kampung Seberang Takir, Tuan Haji Zakaria Bin Dagang. 

Objektif program adalah untuk berkongsi khidmat kepakaran teknikal dan pengalaman JKR Malaysia secara amnya dalam pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) dengan premis-premis terpilih seluruh negara seperti masjid dan sekolah. Inisiatif ini telah berupaya mengurangkan kadar risiko berlakunya kemalangan di premis-premis tersebut, sekaligus menjadikannya tempat yang selamat dan sihat. Program CSR KKP dilaksanakan secara 2 peringkat melibatkan pemeriksaan aspek KKP di premis tersebut dan disusuli dengan taklimat serta perkongsian khidmat kepakaran berkaitan KKP termasuklah cadangan penambahbaikannya.

Syabas JKR Malaysia atas sikap keprihatinan dan penzahiran tanggungjawab dan khidmat sosial kepada komuniti melalui perkongsian kepakaran selari dengan visi JKR sebagai pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek serta perkhidmatan kejuruteraan.