Cawangan Kejuruteraan Geoteknik (CKG) Ibu Pejabat JKR Malaysia telah menganjurkan program ‘Hari Bertemu Pelanggan Cawangan Kejuruteraan Geoteknik (CKG)’ di Tkt. 26 Menara PJD, Kuala Lumpur pada 16 Mei 2019.
Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Ir. Razali bin Che Embi, Jurutera Awam Penguasa Kanan dengan objektif utama untuk memberi pendedahan khusus berkaitan skop kerja di CKG merangkumi kerja – kerja rekabentuk, siasatan forensik, skop kerja – kerja Penyiasatan Tapak (Site Investigation) termasuk proses perolehan perlantikan kontraktor Penyiasatan Tapak dan juga kajian – kajian yang dijalankan di Kejuruteraan Geoteknik. Disamping itu, program ini juga merupakan platform bagi segala permasalahan berkenaan koordinasi, penyelarasan kerja dan apa jua isu berbangkit dapat diselesaikan dan dijelaskan dengan lebih terperinci daripada Ketua Bahagian di Cawangan ini.
Program ini telah disertai oleh seramai 62 pegawai yang terdiri daripada Kementerian Kerja Raya, pelbagai Cawangan Ibu Pejabat JKR, JKR Wilayah/Negeri dan Pasukan Projek Khas. Antara pengisian program ini dimulai dengan taklimat peranan dan tanggungjawab tugas yang disampaikan oleh setiap Ketua Bahagian di Cawangan ini, sesi soal jawab bersama pelanggan dan diakhiri dengan sesi lawatan ke booth pameran. Antara bahan yang dipamerkan adalah poster carta aliran kerja bagi setiap Bahagian, pelbagai peralatan tapak seperti Hand Auger, Dipmeter, Compass, GPS device, JKR & Mackintocsh Probe, Geology Hammer serta contoh batuan, dokumen-dokumen rujukan seperti Laporan Akhir Kerja-Kerja Penyiasatan Tapak (projek bangunan, jalan, jambatan dan forensik), Malaysia Standard (MS) & JKR Spesifikasi dan tayangan video bagi kerja-kerja di lapangan, kerja-kerja di makmal dan pengauditan Makmal Geologi.
Pihak CKG mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan daripada Pengurusan Atasan Jabatan dan tidak lupa juga kepada semua yang hadir bagi menjayakan program ini. Budaya perkongsian pengetahuan akan terus menjadi salah satu agenda utama dalam membangunkan kompetensi di kalangan professional JKR dan juga menjalin hubungan yang lebih erat dalam menghasilkan kerja yang lebih efisien.
Akhir kata, pengurusan CKG IPJKR juga merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada semua warga CKG yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan serta merealisasikan program ini.
- 1772 bacaan