Date: Khamis, September 1, 2016
Program ini telah berlangsung pada 21 hingga 25 Ogos 2016 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Program ini adalah bertujuan untuk menerapkan kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran insaniah kepada para pelajar dalam persediaan menghadapi program Latihan Industri pada akhir semester. Program ini dilaksanakan dengan melibatkan kerjasama Penasihat Industri UTHM dan dibantu oleh pihak Fakulti. YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan B. Md. Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya merupakan salah seorang Penasihat Industri yang dilantik oleh UTHM bagi memberi nasihat dan input berkaitan pembelajaran di UTHM. Terdapat 5 sesi pembentangan bersama Penasihat Industri telah dijalankan dan setiap sesi melibatkan lebih kurang 20 pelajar. Mejar Ir. Suhaizad B. Hj. Sulaiman pula telah dilantik sebagai Penasihat / Panel program dan beliau telah dibantu oleh Dr. Nor Haslina Bt. Hashim dari UTHM untuk Sesi 2. Di antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti ceramah berkenaan laluan kerjaya oleh Penasihat Industri, bengkel dan pembentangan oleh pelajar-pelajar terlibat. Semoga jalinan kerjasama di antara JKR Malaysia dan UTHM seperti ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan demi kecemerlangan generasi pelapis negara.