Date: Selasa, Februari 21, 2023

16 Februari 2023 (Khamis) - Program Jerayawara Building Information Modelling (BIM) JKR Malaysia Edisi Pertama bertemakan Pelaksanaan BIM dalam Projek Kerajaan telah melabuhkan tirainya pada 16 Februari 2023 di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur (zon tengah). Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Ts. Muhammad Khairi bin Sulaiman, Pengarah Bahagian Kepakaran BIM, Cawangan Arkitek JKR Malaysia.

Terdahulu, program jerayawara ini telah dilaksanakan di lima (5) buah negeri pada tahun 2022 seperti berikut:

a)            Zon Sarawak (28 Julai 2022) – JKR Sarawak Research Centre

b)            Zon Sabah (23 Ogos 2022) – Dewan Sri Kinabatangan, JKR Sabah

c)            Zon Selatan (September 2022) – Dewan Mekanikal, JKR Johor

d)            Zon Pantai Timur (18 Oktober 2022) – K-Castle, Kelantan

e)            Zon Utara (1 November 2022) – Dewan Myristica, JKR Timur Laut

Dianggarkan seramai 800 peserta yang terdiri daripada pihak JKR Negeri, agensi-agensi kerajaan, perunding, kontraktor dan juga ahli akademik telah menghadiri program edisi pertama ini. Sambutan menggalakkan ini menunjukkan petanda positif yang mana semua pihak berkepentingan sudah mula menunjukkan kesedaran dan kesediaan untuk menerima adaptasi teknologi baru seperti BIM dalam pelaksanaan projek.

Program jerayawara ini merupakan platform yang sesuai untuk semua para penggiat industri pembinaan mengetahui dengan lebih lanjut tentang kaedah pelaksanaan BIM dalam projek JKR. Melalui program ini, para peserta memperoleh ilmu pengetahuan yang bermanfaat melalui 6 slot pembentangan seperti berikut:

  1. Aspirasi dan Hala Tuju Pelaksanaan BIM di JKR - Ir. Ahmad Ridzuan Abu Bakar (JKR Malaysia)
  2. Pelaksanaan BIM dalam Projek Bangunan JKR - Ir. Ts. Mohd Faiz Shapiai (JKR Malaysia)
  3. Integrasi BIM dalam Projek Pembinaan (Structure Analysis & Design) - Mr. Bryan Ewe Teik Tsia (CP Development (M) Sdn Bhd)
  4. Pelaksanaan BIM dalam Projek Jalan dan Infrastruktur JKR - Muhammad Iyas Mahzan (UTNM Sdn Bhd)
  5. Integrasi BIM dalam Projek Jalan & Infrastruktur (Road & Infrastructure Design) - Bryan Ewe Teik Tsia (CP Development (M) Sdn Bhd)
  6. Penyediaan Lukisan Terukur & Validasi Kerja Pembinaan melalui BIM - Razak Wong (Geodelta System Sdn Bhd)

Berdasarkan maklum balas positif yang diterima, program jerayawara ini akan diteruskan lagi di enam (6) lokasi menerusi edisi kedua pada tahun 2023 di mana sesi bengkel latihan secara hands-on akan diperkenalkan bagi mendedahkan para peserta dengan kemahiran penggunaan aplikasi perisian BIM mengikut keperluan teknikal dan piawaian BIM JKR.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Cawangan Perancangan Aset Bersepadu dan CP Development (M) Sdn Bhd serta Institut Jurutera Malaysia cawangan negeri selaku penganjur bersama yang menjayakan program jerayawara ini.