Date: Isnin, April 29, 2024

Pada 23 hingga 25 April 2024, sukacita dimaklumkan bahawa pihak Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan (JKK) Premis Blok A-F Ibu Pejabat JKR (IPJKR) Malaysia telah berjaya menganjurkan satu Program Latihan Evacuation Drill & Basic Life Support bagi Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Premis Blok A-F Ibu Pejabat JKR Malaysia bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bertempat di Dewan Seminar, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Blok F, Ibu Pejabat JKR Malaysia.

Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) ialah kumpulan individu terlatih yang ditugaskan untuk bertindak balas terhadap situasi kecemasan dan memberikan bantuan segera kepada mereka yang terjejas. Kepentingan ERT tidak boleh dipertikaikan, kerana ia memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan individu semasa krisis.

Keperluan menyediakan Pengurusan/Pasukan Tindakan Kecemasan di tempat kerja adalah diwajibkan di bawah perundangan yang berkaitan dengan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Walaupun tidak disebut secara langsung di bawah Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), tetapi Bahagian IV, Seksyen 15 ada menerangkan sesuatu perkiraan untuk diwujudkan supaya tempat kerja dan orang-orangnya adalah selamat semasa bekerja atau berada di tempat kerja.

Seramai 110 orang ahli ERT dan Pegawai Aras yang terlibat dari semua cawangan dan agensi di Premis Blok A-F IPJKR dan program ini amat penting agar semua ahli ERT termasuk Pegawai Aras yang dilantik mempunyai kompetensi yang sewajarnya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan sewaktu berlakunya kecemasan atau kebakaran di samping memenuhi keperluan bagi mewujudkan Pasukan Tindakan Kecemasan di satu-satu Premis.