Date: Jumaat, March 28, 2025

Pada 21 Mac 2025 telah berlangsungnya Program Turun Padang Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi ke projek - projek Cawangan Jalan di Negeri Sembilan. Kesempatan yang diambil oleh YB Menteri Kerja Raya pada sesi pagi ini adalah bersempena dengan kunjungan mengadap beliau kepada YAM Tunku Besar Seri Menanti yang diadakan pada sebelah petang.

Program turun padang ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Ir. Atikah binti Zakaria@Ya, Pengarah Kanan Cawangan Jalan serta pengurusan kanan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya.

Dua projek Cawangan Jalan yang telah dilawati oleh YB Menteri Kerja Raya ialah:

  1. Projek Malaysia Vision Valley (MVV): Membina Jalan Baru Dari Nilai – Labu Ke Bandar Enstek, Daerah Seremban, Negeri Sembilan (Menyiapkan Baki Kerja); dan
  2. Projek Menaiktaraf Jalan Tunggal 2 Lorong 2 Hala Kepada Jalan Berkembar 4 Lorong 2 Hala Di Seksyen 8.50 Di Jalan Seremban – Kuala Pilah (FT51), Daerah Seremban, Negeri Sembilan.

Kedua-dua projek ini adalah di bawah seliaan Unit Projek Khas Zon Selatan, Cawangan Jalan.


Projek Malaysia Vision Valley (MVV): Membina Jalan Baru Dari Nilai – Labu Ke Bandar Enstek, Daerah Seremban, Negeri Sembilan (Menyiapkan Baki Kerja)

Ketibaan YB Menteri Kerja Raya dan delegasi di projek pertama iaitu Projek Malaysia Vision Valley (MVV): Membina Jalan Baru Dari Nilai – Labu Ke Bandar Enstek, Daerah Seremban, Negeri Sembilan (Menyiapkan Baki Kerja) telah disambut oleh Ir. Rozainol Effendi bin Md. Janah selaku Pegawai Penguasa projek, pihak perunding dan kontraktor yang dilantik. YB Menteri Kerja Raya turut diberi taklimat dan seterusnya meluangkan masa meninjau kemajuan kerja sekitar kawasan projek.   

Projek ini merupakan projek tender semula di mana kontraktor asal telah ditamatkan kontrak. Projek ini telah dimulakan pada 23 Julai 2024 dan dijangka siap secara berfasa iaitu:

        i.Fasa 1: 22 Januari 2026 (CH.0-CH.6000); dan
        ii.Fasa 2: 20 Julai 2026 CH.6001-CH.16318)

Projek ini bertujuan meningkatkan aliran trafik dan akses ke MVV dari Nilai, Labu dan Enstek serta menyediakan jaringan jalan yang lebih baik, khususnya Seremban Barat.

Antara skop projek adalah seperti berikut:

  1. Membina jalan baharu 4 lorong 2 hala sepanjang 16.3 km dengan piawaian JKR R5;
  2. Membina persimpangan Utama
  3. Membina 7 buah jambatan dan 8 vehicular box culvert;
  4. Membina pembentung dan sistem perparitan;
  5. Rawatan tanah dan cerun;
  6. Pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat; serta
  7. Pembaikan kerja-kerja terdahulu

 

Projek Menaiktaraf Jalan Tunggal 2 Lorong 2 Hala Kepada Jalan Berkembar 4 Lorong 2 Hala Di Seksyen 8.50 Di Jalan Seremban – Kuala Pilah (FT51), Daerah Seremban, Negeri Sembilan.

Seterusnya, projek kedua yang dilawati oleh YB Menteri Kerja Raya dan delegasi ialah Projek Menaiktaraf Jalan Tunggal 2 Lorong 2 Hala Kepada Jalan Berkembar 4 Lorong 2 Hala Di Seksyen 8.50 Di Jalan Seremban – Kuala Pilah (FT51), Daerah Seremban, Negeri Sembilan. Projek ini telah dimulakan pada 20 Disember 2021 dengan objektif untuk menangani kesesakan yang tinggi (isu bottleneck) sepanjang 1km di Persimpangan Taman Nusa Intan, lokasi blackspot dan banjir kilat.

Antara skop projek adalah seperti berikut:

  1. Naiktaraf ke jalan berkembar 4 lorong;
  2. Membina pembahagi jalan;
  3. Naiktaraf persimpangan Taman Nusa Intan dan Bukit Putus Lama;
  4. Membina pembentung dan sistem perparitan; serta
  5. Kerja pemasangan perbaot jalan dan elektrik.

Memandangkan projek ini telah siap sepenuhnya, maka di kesempatan lawatan ini, YB Menteri Kerja Raya berbesar hati merasmikan pembukaan lorong tambahan berkenaan kepada pengguna jalan raya. Turut hadir memeriahkan perasmian ialah YB Tuan Arul Kumar a/l Jambunathan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, mewakili YB Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pembukaan secara rasmi ini membuktikan komitmen Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Malaysia dalam menyediakan infrastruktur jalan raya yang selamat dan selesa buat 30 ribu pengguna jalan raya dan penduduk di sekitar yang menggunakan laluan ini. Manfaatnya bakal dirasai menjelang Hari Raya Aidilfitri di mana jumlah trafik harian dijangkakan meningat sekali ganda dari kebiasaan.

#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat

Projek Malaysia Vision Valley (MVV): Membina Jalan Baru Dari Nilai – Labu Ke Bandar Enstek, Daerah Seremban, Negeri Sembilan (Menyiapkan Baki Kerja)

(Gambar Ihsan:  Facebook Kementerian Kerja Raya) 

 

Projek Menaiktaraf Jalan Tunggal 2 Lorong 2 Hala Kepada Jalan Berkembar 4 Lorong 2 Hala Di Seksyen 8.50 Di Jalan Seremban – Kuala Pilah (FT51), Daerah Seremban, Negeri Sembilan

(Gambar Ihsan:  Facebook Kementerian Kerja Raya)