Date: Jumaat, Oktober 11, 2024

Program  Libat Urus Cawangan Kerja Keselamatan  (CKS), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Bersama Pelanggan bagi Tahun 2024 telah diadakan pada 10 Oktober 2024 bertempat di  Dewan Kadaram, Tingkat 10, Maju Tower, Kuala Lumpur. Program  telah dirasmikan oleh Ir. Maria binti Marcus, Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan  (CKS) dan turut dihadiri oleh semua Ketua Bahagian di dalam Cawangan Kerja Keselamatan  (CKS), iaitu Ir. Dr. Hannerita Binti Mohamad Zainal, Nor Aniza Binti Naimudin,  Wan Zailawati Binti Wan Ishak, Ir. Munira Binti Mat Zain (Menjalankan tugas Ketua Bahagian) , Ir. Lim Keat Eng, Ir. Zamilah Binti Said, dan  Ar. Mohd Hafizzudin Bin Md Zahir serta semua HODT bagi projek Cawangan Kerja Keselamatan  (CKS).

Agensi Pelanggan yang terlibat dan meluangkan masa untuk hadir terdiri daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta agensi di bawah kementerian tersebut.

Objektif penganjuran program ini adalah sebagai salah satu platform untuk membincangkan isu-isu berbangkit dalam pelaksanaan projek dan berusaha untuk mencari penyelesaian bersama dengan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek di CKS,JKR Malaysia agar ianya dapat diselesaikan dengan segera. Program libat urus ini juga merupakan satu inisiatif JKR selaku agensi pelaksana untuk mendapatkan input dan maklum balas terhadap pelaksanaan projek-projek pembangunan fizikal di bawah Rancangan Malaysia (RMK) daripada agensi pelanggan. Di samping itu juga, program ini juga bertindak sebagai satu forum perkongsian ilmu, pertukaran idea dan maklumat di antara satu sama lain berkaitan dengan pelaksanaan projek agar penyampaian projek akan lebih cekap.

Program terbahagi kepada dua (2) sesi di mana sesi pertama di sebelah pagi adalah perkongsian ilmu dalam dua (2) topik iaitu :
 1. Taklimat Penggunaan Building Information Building (BIM) dalam pelaksanaan projek RMK12 oleh Ir. Ahmad Syukri Bin Bukhari  dari Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB)
 
2.  Taklimat Garis Panduan Am Spesifikasi Lokap Projek Keselamatan oleh Ts. Dr. Bismiazan Abd. Razak dari Cawangan Arkitek  (CA) 


Manakala  sesi kedua di sebelah petang di mulai dengan pembentangan isu pelaksanaan projek CKS dari perspektif HOPT CKS oleh Ir. Dr. Hannerita binti Mohamad Zainal, Ketua Bahagian Pengurusan Portfolio (PMO), CKS dan di akhiri dengan perbincangan terbuka berkenaan  isu pelaksanaan projek dan strategi pelaksanaan projek CKS yang diutarakan oleh pihak pelanggan dari persepektif pelanggan serta HODT. Ianya meliputi kaedah pelaksanaan, kaedah rekabentuk, perancangan iklan,  perancangan SST dan  kaedah pembinaan. Intipati isunya adalah berkisar tentang jumlah kos projek yang diperlukan dan tempoh masa projek dilaksanakan.

Adalah diharapkan semoga melalui perkongsian maklumat ini, semua pemegang taruh akan lebih memahami proses-proses dan keperluan teknikal yang perlu diambil dalam melaksanakan sesuatu projek itu untuk memenuhi dan menambah baik penyampaian hasil output yang diharapkan.

Semoga segala perkongsian ilmu, pengalaman dan percambahan fikiran sepanjang hari ini akan memberikan manfaat kepada semua pihak agar projek dapat dilaksanakan dengan sempurna, menepati sasaran kos dan skop yang ditetapkan serta dapat diserahkan seperti mana dirancang.  Di samping itu juga, dalam usaha pemantapan bisnes teras jabatan, langkah proaktif dengan mengadakan Program Libat Urus bersama agensi pelanggan seperti ini akan diteruskan pada setiap tahun.

#JasaKepadaRakyat
#KitaJKR
#JKRsynergy