Date: Rabu, November 22, 2023

Majlis Penyerahan Projek Membina Baru Masjid Kampung Kuala Tekal, Kuala Krau, Temerloh, Pahang Darul Makmur telah berlangsung dengan jayanya pada 16 November 2023 bertempat di tapak projek masjid tersebut iaitu di Kampung Kuala Tekal, Temerloh, Pahang.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan dengan simbolik penyerahan kunci bangunan masjid oleh YBrs. Ir. Nor Azlina Binti Kasim, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya  Temerloh dan Pegawai Penguasa bagi projek ini kepada Yang Hormat Dato’ Haji Fadzilla Bin Haji Salleh, Pengarah, Pejabat Pembangunan Negeri Pahang selaku wakil kepada pihak pelanggan bagi projek ini. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. Encik Arbain Bin Mokhtar, Penolong Pengarah Seksyen Khas, Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, YBrs. Ustaz Syed Ana Ruhaizat Bin Syed Alwi, Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Masjid Dan Surau, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YBrs. Puan Norhasida Binti Abdullah, Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Dan Tanah Temerloh. YBrs. Encik Abdul Aziz Bin Abdul Karim, Al-Fadhil Qadhi Daerah Temerloh, YBrs.  Ar. Mohammad Effendi,  Arkitek Penguasa Negeri Pahang, wakil Jurutera Elektrik Negeri Pahang, wakil Ketua Jurutera Mekanikal Negeri Pahang, wakil Ketua Pasukan Projek (HOPT), wakil dari Pasukan Rekabentuk (HODT), pihak kontraktor utama serta kontraktor yang dinamakan (NSC). Dalam majlis tersebut, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Temerloh juga telah menyerahkan sijil penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dalam pembinaan masjid ini.

Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman yang menggunakan lukisan piawai masjid 200 jemaah yang direkabentuk oleh Pasukan Rekabentuk JKR Pahang dengan siling projek sebanyak RM 2.0 juta. Skop projek melibatkan pembinaan bangunan utama masjid berkapasiti 200 jemaah, menara,  tandas lelaki dan tandas wanita, rumah pam, Compact Substation TNB dan dataran kejat. 

Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 72 minggu iaitu bermula 17 November 2020 sehingga 04 April 2022. Namun selepas mendapat kelulusan  Lanjutan Masa No.5 tarikh siap semasa ialah 12 Disember 2023 dan kontraktor telah berjaya menyiapkan projek lebih awal dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 16 November 2023 (26 hari awal dari tarikh patut siap semasa). Berkat kesungguhan pasukan kontraktor utama oleh syarikat IAAL ASZQ Enterprise bersama kontraktor elektrik dari syarikat MFI Power Resources serta kontraktor mekanikal Din Air Cond & Elektrical Engineering dalam menjayakan projek ini meskipun negara berhadapan dengan cabaran pasca krisis pandemik Covid-19. Kesan dari pasca Covid-19 memberi kesan kepada kenaikan harga barang binaan yang mendadak. Namun begitu, kontraktor tetap berjaya menyiapkan projek ini bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

Matlamat utama pembinaan masjid ini adalah untuk memenuhi keperluan penduduk Kampung Kuala Tekal dan kampung-kampung sekitarnya dengan kapasiti seramai 200 orang jemaah. Keperluan ini telah diangkat oleh penduduk kampung kepada Pejabat Pembangunan Negeri Pahang melalui Jabatan Agama Islam Negeri Pahang dan Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh. Peruntukan telah diluluskan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jurutera Daerah JKR Temerloh selaku Pegawai Penguasa Projek, JKR Negeri Pahang, Ketua Pasukan Projek (HOPT), semua Bahagian Rekabentuk (HODT), Pasukan Projek JKR Temerloh, Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh, kontraktor-kontraktor seterusnya semua pihak yang telah gigih berusaha dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.