17 Oktober 2024 (Khamis), bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid telah berlangsungnya Program Persada Minda @ JKR 2024. Program yang dianjurkan bersama Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) dan Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu (CPAB) ini turut berkolaborasi bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kumpulan Karangkraf serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Menerusi tema “Iqra: Digitalisasi Pembacaan”, program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Ir. Haji Zulkifli bin Abdul Rashad, Timbalan Ketua Pengarah(Pakar) mewakili YBhg. Datuk Wira Ketua Pengarah Kerja Raya . Turut hadir bersama adalah YBrs. Ir. Mohamad Shahrom Bin Ahmad Saman TKPKR (Infra); YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim Bin Esa TKPKR (Bangunan), serta pegawai-pegawai Kanan JKR Ibu Pejabat. Turut diacarakan adalah penyampaian penghargaan kepada rakan strategik, sumbangan buku kepada tiga sekolah kebangsaan dan dua sekolah menengah sekitar JKR serta penyampaian anugerah hadiah pertandingan.
Dengan kehadiran lebih 400 orang peserta, program Persada Minda @ JKR 2024 menampilkan tiga (3) slot perkongsian ilmu yang mengetengahkan tajuk-tajuk menarik seperti “Menelusuri Kisah Seorang Sasterawan” oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Lim Swee Tin yang berkongsikan pengalaman beliau dalam bidang kesusasteraan. Slot kedua diteruskan dengan perkongsian oleh Puan Nurul Aini Binti Bakar yang telah memberi pendedahan mengenai “Dunia Fiksyen Malaysiana”. Sesi forum di sebelah petang telah mencuri perhatian peserta dengan tajuk “ Teknologi AI Dalam Pembudayaan Ilmu, Mengubah Gaya Hidup Masyarakat?” yang menampilkan tiga (3) orang panel iaitu Prof. Ts. Dr. Zuriati Ahmad Zulkarnain daripada wakil YADIM; Encik Mohd Fadzli bin Tajuid mewakili DBP dan Encik Yazid Bin Ibrahim mewakii PNM. Sesi ini menjadi lebih menarik dengan kepetahan Tn. Sayed Munawar bin Sayed Mohd Mustar yang bertindak sebagai moderator sesi bual bicara ini.
Persada Minda @ JKR 2024 turut dimeriahkan dengan aktiviti pameran dari jualan buku oleh pihak DBP, PNM, YADIM dan Jendela Informasi. Peserta juga turut di bawa merasai pengalaman mengenali seni khat jawi dan seni kaligrafi Cina dan Tamil. Pada masa yang sama , dua (2) kategori pertandingan teka silangkata telah disertai oleh peserta yang hadir.
Program yang telah berada dikemuncaknya ini, bermula sejak bulan April 2024 dengan beberapa aktiviti seperti Resensi Buku, Bengkel Perpustakaan Keluarga, program tanggungjawab sosial korporat di SK Sultan Hisamuddin Alam Shah dan program Riang Ria Cuti Sekolah. Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif sasaran penganjurannya iaitu menyebar luas ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin serta memupuk budaya pengembangan, perkongsian dan cintakan ilmu yang mampan secara berterusan kepada semua warga JKR.
#IamJKR
#KitaJKR
#JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 827 bacaan