Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) selaku urus setia bersama telah menganjurkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bertempat di Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Program tersebut berlangsung selama tiga (3) hari, bermula 8 Disember 2023 (Jumaat) hingga 10 Disember 2023 (Ahad) dan majlis perasmian penutupan program ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, yang turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan.
Penganjuran program ini memberi fokus kepada tiga komponen iaitu, Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan Touchpoint Rakyat, dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat di mana ketiga-tiga komponen ini merupakan ikhtiar Kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan selari dengan nilai-nilai Malaysia MADANI.
Antara tarikan menarik sepanjang tiga hari program ini adalah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus Kementerian-kementerian bersama rakyat dan Jualan Mega MADANI. Pengunjung juga berpeluang untuk melihat pencapaian Kerajaan melalui pameran pencapaian semua Kementerian beserta perancangan jangka masa panjang Kerajaan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama-sama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terlibat secara langsung dengan pameran di reruai Kementerian Kerja Raya (KKR). Pelbagai perkongsian informasi seperti produk dan projek telah dipamerkan melalui poster digital, video, dan replika. Replika produk inovasi dan teknologi yang telah dipamerkan oleh JKR dan menjadi daya tarikan pengunjung adalah: -
- Garisan Jalan Glow in the Dark
- Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge)
- Sekolah Daif menggunakan rekabentuk Pre-Approved Plan (PAP) dan kaedah pembinaan IBS
Selain daripada itu, JKR juga turut terlibat dalam aktiviti Pocket Talk pada hari kedua program di mana YBhg. Dato’ Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan telah memberikan kupasan informasi mengenai Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Menurut laman web Malaysia MADANI, pameran yang berlangsung selama tiga (3) hari ini telah dibanjiri dengan kehadiran lebih dari 230,000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut universiti, pemain industri pembinaan, orang awam, kakitangan agensi awam dan swasta.
Sepanjang tempoh program berlangsung, reruai KKR turut dikunjungi Timbalan Perdana Menteri II, YAB Dato' Sri (link is external) Haji (link is external) Fadillah bin Haji Yusof, YB Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), YBhg. Dato’ Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) YBrs. En. Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, mantan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ir. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Pengarah JKR Negeri Melaka, YBhg. Datuk Ir. Hj. Ismail bin Abd Rahman sebagai tanda sokongan kepada pempamer yang terlibat.
- 1138 bacaan