Date: Jumaat, September 15, 2017

Majlis Penyerahan Projek Siap Perumahan Kastam Larkin, Johor Bahru, Johor telah berlangsung dengan jayanya pada hari Selasa, 12 September 2017 jam 11.00 pagi di tapak projek.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Tuan Kamaluddin Bin Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) yang melahirkan rasa bangganya apabila JKR berjaya melakar satu lagi sejarah dengan terbinanya dua (2) blok Bangunan Perumahan Kastam Larkin yang mengandungi 60 unit kuarters Kelas G tersebut. Projek ini merupakan projek perumahan Kastam kedua pada tahun ini yang diserah oleh Cawangan Kerja Bangunan Am 1, JKR selepas serahan Perumahan Kastam Sepanggar, Sabah pada awal Januari yang lepas.

JKR Malaysia telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini sejak tahun 2010 secara konvensional perunding dengan siling projek sebanyak RM25.1 Juta. Walau bagaimanapun pelantikan kontraktor yang pertama iaitu Protab Construction Sdn. Bhd. pada September 2010 telah ditamatkan kontraknya pada Januari 2013 kerana kelewatan kerja di tapak. Selanjutnya kontraktor penyelamat iaitu Muara Atur Sdn. Bhd. telah dilantik pada Januari 2014 untuk meneruskan kerja-kerja yang terbengkalai sehingga penyiapan projek.

Majlis diteruskan dengan ucapan YBhg. Dato' Sri Subromaniam A/L Tholasy, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang mana beliau telah menzahirkan penghargaan dan berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan JKR dalam melaksanakan projek-projek Jabatan Kastam selama ini.

Majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Dokumen Penyerahan Projek antara TKPKR (Sektor Bangunan) dan Ketua Pengarah Kastam, disusuli dengan penyerahan simbolik kunci. Para hadirin kemudiannya membuat lawatan ke rumah contoh sebelum bersurai pada jam 1.00 petang.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan JKR, Perunding dan Kontraktor kerana telah berjaya menyiapkan projek ini dengan hasil kerja yang berkualiti dan memuaskan.

JKR "PELANGGAN DIUTAMAKAN, JANJI DIKOTAKAN"
-Perkhidmatan Terbaik Untuk Rakyat-