Date: Jumaat, March 2, 2018

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor-kontraktor yang dilantik bagi Projek Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah IBS di Semenanjung Malaysia telah berlangsung dengan jayanya pada hari Jumaat, 2 Mac 2018 jam 09.00 pagi di Bilik Tanjung, Kementerian Kerja Raya.

Majlis telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Zohari bin Hj. Akob dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha serta barisan pegawai – pegawai kanan Jabatan Kerja Raya peringkat Cawangan, Negeri dan Daerah.

Dalam ucapan YBhg. Dato’ Sri ada menyebut YAB Perdana Menteri semasa Pembentangan Bajet 2018 telah membangkitkan bahawa terdapat hampir dua (2) ribu sekolah di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif seperti bumbung bocor, lantai rosak, dinding berlubang dan peralatan yang sudah lama tidak berganti. Oleh yang demikian, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 billion untuk tujuan membaik pulih sekolah daif bagi tempoh dua (2) tahun iaitu 2018 (Fasa 1) dan 2019 (Fasa 2) dengan pecahan RM500 juta bagi sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia, RM1 billion di Negeri Sabah dan RM1 billion di Negeri Sarawak.

Bagi Fasa 1, JKR Malaysia telah dilantik sebagai Agensi Pelaksana bagi pelaksanaan projek sekolah daif di Semenanjung Malaysia sementara bagi Sabah dan Sarawak, JKR Malaysia telah dilantik sebagai Pengurus Program yang akan dilaksanakan oleh JKR Sabah dan JKR Sarawak.

Pelaksanaan projek Fasa 1 di Semenanjung Malaysia adalah melibatkan 158 buah sekolah, 12 negeri dan 38 pakej tender / kontrak dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM145 juta. Skop utama bagi projek sekolah daif Fasa 1 di Semenanjung adalah melibatkan 964 Bilik Darjah, 7 Bilik Sains dan 88 blok Tandas.

Pemilihan kontraktor telah dibuat secara tender terhad daripada kalangan 80 kontraktor tempatan yang diluluskan oleh pihak MOF.

Selain itu, YBhg. Dato’ Sri berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk memenuhi hasrat YAB Perdana Menteri agar tahun 2018 ini merupakan “Tahun Kejayaan Dan Keberhasilan Yang Mengagumkan Atau Year of Success and Impressive Result. YBhg. Dato’ Sri turut menyarankan supaya segala usaha dan tenaga perlu digembleng dalam memastikan setiap projek dan program pembangunan dilaksanakan dengan pantas, berkesan dan benar-benar memberi impak positif kepada kesejahteraan hidup rakyat.

JKR selaku agensi pelaksana yang diamanah untuk melaksanakan projek demi kepentingan rakyat berusaha sebaik mungkin bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Majlis diteruskan dengan Penyerahan Surat Setuju Terima kepada kontraktor-kontraktor yang dilantik dengan disaksikan oleh para hadirin yang hadir.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua kontraktor yang telah berjaya dilantik dan diharapkan projek yang merupakan touch point dapat diserahkan dengan sempurna kepada Kementerian Pendidikan Malaysia agar dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pihak sekolah.