Date: Rabu, Mei 31, 2023

Roadshow Garis Panduan Bagi Kerja Perlindungan, Pengalihan Dan Pemasangan Semula Utiliti Dalam Pelaksanaan Program Dan Projek Kerajaan Rancangan Malaysia Ke-12 (GP Utiliti RMKe-12) Zon Tengah telah berlangsung pada 25hb Mei 2023 (Khamis) bertempat di Bilik Mesyuarat Cemerlang, Wisma Perbadanan Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan.

Roadshow ini telah dirasmikan oleh YBrs. Lt. Kol. Ir. Ts. Suhaizad Bin Haji Sulaiman, Pengarah, Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Labuan. Turut hadir YBrs. Kasman Bin Genda, Ketua Seksyen Referal, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan YBrs. Sr Haji Kamarul Azam Bin Kamarul Baharin, Pengarah Ukur Bahagian Pemetaan Utiliti, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Sesi ini diselaraskan oleh YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim Bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan Ibu Pejabat JKR Malaysia selaku urusetia bagi memastikan pemakaian GP Utiliti RMKe-12 ini digunakan sepenuhnya dan juga bertujuan memberi kesedaran secara menyeluruh di peringkat agensi pelaksana supaya dapat mengurangkan pertikaian semasa pelaksanaannya di tapak agar program dan projek dapat disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Sesi ini juga dijayakan dengan penglibatan daripada pihak Bahagian Pembangunan dan Penswastaan, Kementerian Kerja Raya Malaysia dan pihak agensi pelaksana zon tengah seperti Cawangan Jalan Ibu Pejabat JKR Malaysia, JKR Negeri Selangor, JKR Wilayah Persekutuan Labuan, JKR Sabah dan JKR Sarawak. Sesi ini juga mendapat kerjasama daripada pihak industri syarikat utiliti iaitu Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Sabah Electricity Sdn Bhd.

Sesi ini akan diteruskan ke beberapa zon lagi di Semenanjung Malaysia iaitu Zon Utara, Zon Timur dan Zon Selatan.

JKR selaku agensi pelaksana kerajaan memikul amanah rakyat untuk memastikan serta memenuhi aspirasi kerajaan agar program dan projek dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dan tepat pada masa sepertimana yang telah dijanjikan.

Berita oleh:
Cawangan Jalan IP JKR Malaysia