Date: Rabu, Jun 8, 2016

Seluruh Warga Jabatan Kerja Raya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti YBhg. Datuk Ir. Hj. Adanan b Mohamad Hussain, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia yang akan bersara sebagai kakitangan awam pada 9 Jun 2016.

Beliau telah berkhidmat selama 37 tahun, bermula sebagai jurutera awam di JKR Pahang Tenggara pada tahun 1979 selama 1 tahun 7 bulan. Setelah itu, beliau telah menyumbangkan tenaga dan jasa di serata tempat. Antaranya, JKR Negeri Sembilan, Cawangan Jalan, Unit Rekabentuk Jalan, Unit Jalan Luar Bandar, dan Cawangan Kejuruteraan Senggara. Beliau juga pernah mencurahkan bakti secara langsung di Kementerian Kerja Raya, iaitu berkhidmat sebagai KADER di Bahagian Perancang Jalan. Dengan pengalaman dan kompetensi beliau, Datuk Nan diberi kepercayaan untuk  melaksanakan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan projek pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2. Melihat kepada kepakaran dan kredibiliti yang dimiliki, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia untuk menerajui jabatan teknikal terbesar ini, bermula pada 1 Julai 2015 sehingga ke hari ini.

JKR Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada YBhg. Datuk Ir. Hj. Adanan b Mohamad Hussain di atas sumbangan dan komitmen besar beliau sepanjang menabur bakti di JKR. Semoga beliau dan isteri dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus melaksanakan aktiviti harian dan gembira di samping keluarga, di samping dapat terus menyumbang pengetahuan, kemahiran dan berkongsi pengalaman yang ada demi kepentingan masyarakat dan negara.