Date: Selasa, Ogos 1, 2017

Seluruh Warga Jabatan Kerja Raya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti YBrs. Ir. Zainal Abidin bin Saidun, Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan yang akan bersara dari perkhidmatan awam bermula pada 2 Ogos 2017, di atas sumbangan dan komitmen besar beliau sepanjang menabur bakti di JKR Malaysia.

Beliau telah mula berkhidmat sebagai penjawat awam pada 1 Ogos 1980. Sepanjang perkhidmatan beliau selama 37 tahun, beliau telah menabur bakti di pelbagai jabatan dan cawangan seperti Cawangan Jalan, JKR Selangor, Jabatan Bekalan Air Selangor, PROKOM dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Di atas khidmat bakti beliau dalam perkhidmatan awam, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak 4 kali iaitu pada tahun 1991, 1993, 2008 dan 2013.

Beliau telah memberikan khidmat dan sumbangan yang amat bernilai kepada JKR khususnya dan negara amnya sepanjang perkhidmatan beliau di Jabatan ini. Semoga beliau dan keluarga akan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dirahmati Allah, di samping dapat terus menyumbang pengetahuan, kemahiran dan berkongsi pengalaman yang ada demi kepentingan masyarakat dan negara.

Selamat maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi dan Selamat Bersara.