Date: Jumaat, Januari 5, 2018

Seluruh Warga Jabatan Kerja Raya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti YBRS. TN. Ir. MOHAMAD AZMAN BIN HAJI AHMAD, PENGARAH KANAN CAWANGAN KEJURUTERAAN ELEKTRIK yang akan menamatkan perkhidmatannya sebagai kakitangan awam pada 13 Julai 2017. Beliau mula berkhidmat sebagai Jurutera Elektrik pada 19 Ogos 1980, iaitu dengan perkhidmatan selama lebih daripada 36 tahun. Penempatan pertama beliau adalah di Bahagian Rekabentuk, Cawangan Elektrik, Ibu Pejabat JKR Malaysia sebagai Jurutera Elektrik. Seterusnya, beliau telah ditempatkan di beberapa JKR Elektrik Negeri seperti JKR Kelantan, JKR Terengganu, JKR TUDM Subang, JKR Kedah dan JKR Pahang dan pernah dipinjamkan ke Lembaga Lebuhraya Malaysia. Beliau telah dilantik sebagai Pengarah Perkhidmatan Pakar di Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Ibu Pejabat JKR Malaysia pada tahun 2015 dan seterusnya dilantik Pengarah Kanan di penempatan yang sama pada tahun 2016.

Di atas khidmat bakti beliau dalam perkhidmatan awam, beliau telah dikurniakan Darjah Bintang Cemerlang Kedah (BCK) pada tahun 1995 dan Darjah Kebesaran Dan Pingat Negeri Pahang (SMP) pada tahun 2008. Selain itu, beliau telah dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga (3) kali sepanjang tempoh perkhidmatan.

Beliau telah memberikan khidmat dan sumbangan yang amat bernilai kepada JKR khususnya dan negara amnya. Diharapkan agar beliau dan keluarga akan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dirahmati Allah. Semoga beliau dan keluarga sentiasa dikurniakan kesihatan dan kebahagian serta mendapat rahmat dan redha Allah SWT.

Selamat maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi dan Selamat Bersara.