Date: Khamis, September 13, 2018

Seluruh Warga Jabatan Kerja Raya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti YBRS. TN. Ir. SHAHRUDDIN BIN SHAHRIL, TIMBALAN KETUA PENGARAH (PERUNDINGAN DAN PERUNDANGAN), JABATAN KERAJAAN TEMPATAN, KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN yang akan menamatkan perkhidmatannya sebagai kakitangan awam pada 16 September 2018.

Beliau mula berkhidmat sebagai Jurutera Awam pada 28 Ogos 1981, iaitu dengan perkhidmatan selama 37 tahun dan penempatan pertama beliau adalah di Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR. Pada tahun 1983, beliau telah menceburi sektor binaan bangunan sekolah, politeknik dan institusi pengajian tinggi selama tujuh (7) tahun di Bahagian Pembangunan dan Bekalan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Seterusnya, beliau telah terlibat dalam sektor bekalan air di Unit Rekabentuk, Cawangan Bekalan Air, Ibu Pejabat JKR selama tujuh (7) tahun. Selain itu beliau juga ditempatkan di beberapa penempatan lain seperti Unit Naziran, Cawangan Pengurusan Korporat, Ibu Pejabat JKR, Cawangan Pengkalan Udara dan Maritim, Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, dan pernah dipinjamkan ke Jambatan Kedua Pulau Pinang Sdn. Bhd. Pada tahun 2014, beliau dilantik sebagai Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan, Ibu Pejabat JKR dan ditukarkan ke Jabatan Kerajaan Tempatan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Perundingan dan Perundangan) mulai tahun 2016 sehingga sekarang.

Beliau berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan kini dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Amalan Ikhtisas sejak 2016 sehingga sekarang. Pada peringkat antarabangsa, beliau pernah mewakili Malaysia dalam persidangan dan seminar seperti Persidangan ITS di Seoul, Korea, dan Persidangan Jalan Sedunia di Sydney, Australia. Beliau juga pernah mengikuti program latihan dan lawatan teknikal yang dianjurkan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB), JICA dan juga Akademi Sains Malaysia ke Bangkok, Jepun, India dan Singapura.

Di atas khidmat bakti beliau dalam perkhidmatan awam, beliau telah dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2010.

Beliau telah memberikan khidmat dan sumbangan yang amat bernilai kepada JKR khususnya dan negara amnya. Diharapkan agar beliau dan keluarga akan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dirahmati Allah. Semoga beliau dan keluarga sentiasa dikurniakan kesihatan dan kebahagian serta mendapat rahmat dan redha Allah SWT.

Selamat maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi dan Selamat Bersara