Date: Khamis, November 14, 2024

12 November 2024, Selasa – Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2024 (HPTN 2024) Peringkat Negeri Pahang telah diadakan dengan jayanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, Kuantan, Pahang. Program tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ir. Ts. Hafizah Binti Zakaria, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang. Turut hadir bersama adalah YBrs. Tuan Ir. Haji Rosnan Bin Hussin, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang; YBrs. Tuan Khairul Zukri Bin Abdulllah, Pengetua SMK Sungai Soi, Ketua-Ketua Bahagian, Jurutera Daerah JKR Daerah Kuantan dan guru-guru SMK Sungai Soi.

Program yang julung kali diadakan ini turut dihadiri lebih 250 orang pelajar SMK Sungai Soi yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan peranan profesion teknikal dalam pembangunan infrastruktur di negara khususnya di negeri Pahang.

Selain itu, penganjuran program ini juga adalah selaras dengan hasrat pengurusan atasan JKR Malaysia, agar sambutan HPTN diperluaskan ke semua negeri bermula pada tahun 2024. Sambutan HPTN merupakan wadah bagi menghargai jasa para profesion teknikal atas sumbangan besar mereka terhadap kemajuan infrastruktur dan pemodenan negara meliputi pelbagai bidang teknikal antaranya kejuruteraan, astronomi, sains, teknologi, pembinaan, senibina, ukur dan sebagainya.

Dalam program yang sama, JKR Negeri Pahang telah melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menjalankan aktiviti mengecat dewan sekolah SMK Sungai Soi dan juga mengecat garisan petak tempat letak kereta dalam kawasan sekolah.

Menerusi penganjuran program ini, adalah diharapkan ianya dapat memberi pendedahan dan ilmu yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar berkaitan dengan peranan dan bidang tugas para profesion teknikal, sekaligus menimbulkan minat untuk menceburi kerjaya di bidang profesion teknikal.

JKR Negeri Pahang turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengetua SMK Sungai Soi, guru-guru dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.

#IamJKR #KitaJKR  #JKRsynergy 
#JasaKepadaRakyat