Date: Rabu, Disember 14, 2022

Satu sesi Libat Urus Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan Jabatan Kerja Raya Malaysia bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) telah diadakan pada hari ini di Bilik Gerakan Tingkat 15 JUPEM Malaysia. Kunjungan hormat daripada Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan JKR yang diketuai oleh Ir. Waznah binti Abdul Aziz, Pengarah CKIP, telah disambut mesra oleh Timbalan Ketua Pengarah JUPEM,Sr Wan Darani bin Ab Rahman dan pengarah-pengarah Ukur Bahagian.

Turut mewakili Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan JKR adalah Sr Taufek bin Kasim, Ketua Bahagian Ukur Tanah CKIP, Ir. Muhammad Khazani bin Abd Rahman,Ketua Bahagian Pangkalan Udara CKIP, wakil-wakil bahagian lain serta daripada bahagian Building Information Modelling (BIM) JKR, Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu (CPAB).

Sesi Libat Urus ini diadakan bertujuan untuk mewujudkan ruang kerjasama antara JKR dan JUPEM serta membincangkan isu-isu pelaksanaan kerja melibatkan kerja ukur dan pemetaan JKR. Disamping itu juga, isu-isu seperti hal-hal lain seperti keterlibatan JKR dalam perkongsian maklumat berkaitan Ukur Tanah dan Perjawatan Kader JUPEM dan juga perkongsian peralatan dan aset Ukur tanah antara JKR dan JUPEM turut dibincangkan.

Di samping perbincangan berkenaan isu-isu di antara kedua-dua Jabatan, sesi perkongsian ilmu turut diadakan dengan pembentangan berkaitan Dron oleh pihak JUPEM dan BIM daripada pegawai CPAB JKR dan juga penglibatan JUPEM dalam mengendalikan serta menghasilkan projek menggunapakai Aplikasi BIM.

Sesi Libat Urus ini berakhir dengan sesi bertukar cenderahati antara kedua-dua pihak dan sesi bergambar. Dengan perjumpaan ini, diharapkan agar hubungan kerja yang erat dapat dijalinkan di samping mewujudkan persefahaman antara kedua-dua Jabatan