Date: Jumaat, September 13, 2019

Pada 10 September 2019, SEMINAR NAIL YOUR TENDER : SECURING JKR PROJECTS anjuran bersama Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan dan Pertubuhan Profesional JKR Malaysia (ProJKRM) telah diadakan dengan jayanya selama satu (1) hari bertempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd. Anuar Bin Mohd. Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya dengan disaksikan oleh Yang Berusaha Ar. Zairul Azidin Bin Badri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Yang Berusaha Ir. Zulakmal Bin Sufian, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Yang Berusaha Sr Zulkifle Bin Mohammad, Pengarah Kanan Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan dan Yang Di Pertua ProJKRM, Ir. Zulkifli bin Ahmad serta dihadiri oleh Pengarah- Pengarah Kanan Cawangan serta Pengarah – Pengarah Cawangan Ibu Pejabat.

Seminar ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai perkara-perkara utama yang terlibat dalam proses penilaian tender seperti berikut:

 Kriteria Penilaian Tender Kerja Kecil (Tidak Melebihi RM20juta)

Kriteria Penilaian Tender Kerja Besar (Melebihi RM20juta)

Kriteria Penilaian Pra-Kelayakan

Selain itu, objektif utama seminar ini juga adalah untuk menjelaskan tatacara penilaian tender kerja dan tatacara penilaian pra-kelayakan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya. Ucaptama telah disampaikan oleh Yang Berusaha Ir. Zulkifli bin Ahmad, Yang Di Pertua ProJKRM dan Kertas Utama Nail Your Tender : Securing JKR Projects (Key Note Paper) disampaikan oleh Yang Berusaha Ar. Zairul Azidin Bin Badri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan). Sebanyak dua (2) kertas kerja tatacara penilaian telah disampaikan oleh pakar-pakar ukur bahan seperti berikut: 

 

  1. Work Tender Evaluation oleh Sr. Abdul Halim Bin Embong, Juruukur Bahan Penguasa Kanan, Jabatan Kerja Raya
  2. Pre-Qualification Evaluation oleh Sr. Mohd Afiz Bin Md. Kassim, Juruukur Bahan Kanan, Jabatan Kerja Raya

 

Dalam seminar ini juga, disediakan satu slot forum dimana ia diketuai oleh seorang moderator iaitu Sr Nik Zainal Alam Bin Hasan, Pengarah Khidmat Pakar Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan dengan dua (2) penceramah terlibat. Melalui sesi forum ini, peserta berpeluang untuk melontar soalan dan pandangan berkenaan penilaian tender JKR sekaligus perbincangan dua hala dapat dicapai dan memberikan peserta lebih pemahaman terhadap perkara-perkara utama dalam proses penilaian tender oleh Jabatan Kerja Raya. 

 Seminar kali ini berjaya menepati sasaran peserta kerana selain daripada penyertaan kakitangan JKR Malaysia di peringkat Ibu Pejabat terdapat juga dari pihak perunding, professional, kontraktor serta pegawai kerajaan daripada jabatan lain.