Date: Khamis, September 26, 2019

Seminar Route to Professional Engineer (P.E) by Board of Engineers Malaysia (BEM) - Zon Utara merupakan sebahagian daripada inisiatif dan program Urus Setia Disiplin Awam JKR bagi menggalakkan jurutera awam di Jabatan Kerja Raya Malaysia berdaftar sebagai jurutera professional. Seminar ini telah berlangsung dengan jayanya pada 25 September 2019 (Rabu) bertempat di Dewan Myristica, Pejabat JKR Daerah Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang. Seminar ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Ir. Ruslan bin Abdul Aziz, Ketua Disiplin Awam, JKR Malaysia dan turut dihadiri oleh Ir. Mohd Fisal bin Ismail, Jurutera Awam Penguasa (Jalan), JKR Pulau Pinang (menjalankan tugas Pengarah JKR Pulau Pinang) dan pegawai - pegawai kanan JKR Ibu Pejabat dan Negeri.

Penganjuran seminar ini merupakan anjuran Urus Setia Disiplin Awam JKR dengan kerjasama JKR Pulau Pinang dan disokong oleh Board of Engineers Malaysia (BEM). Seminar ini telah dihadiri oleh lebih 90 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai (Jurutera Awam) negeri dan kader dari pelbagai peringkat gred dari wilayah zon utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) yang masih belum memiliki status jurutera profesional.

Majlis perasmian dimulakan dengan Ucapan Perasmian oleh Ketua Disiplin Awam, JKR Malaysia, YBhg. Datuk Ir. Ruslan bin Abdul Aziz. Seminar kemudian diteruskan dengan taklimat oleh penceramah-penceramah jemputan dari Board of Engineers Malaysia (BEM) yang diwakili oleh Ir. Suhaizad bin Hj.Sulaiman (BEM Secretary) dan Ir. Mohd Noramil bin Mohd Daril (BEM Executive Director).

Seminar ini bertujuan menggalakkan pegawai JKR terutama jurutera awam untuk memiliki kelayakan jurutera profesional bertauliah (Profesional Engineer (P.E)) yang juga merupakan keperluan utama jabatan terutama didalam kemajuan kerjaya pegawai. Seminar ini memberi penekanan kepada perkara-perkara berikut :

  1. Memberi panduan dan pendedahan kepada pegawai JKR untuk memiliki kelayakan profesional bertauliah (Profesional Engineer (PE)) untuk kemajuan kerjaya;
  1. Memberi panduan untuk memahami prosedur permohonan pendaftaran jurutera profesional melalui Board of Engineers Malaysia (BEM);
  1. Memberi panduan dan kaedah penyediaan laporan teknikal dan pengalaman kerja untuk persediaan menghadapi Professional Assesment Examination (PAE).

Terima kasih diucapkan kepada JKR Pulau Pinang, Board of Engineers Malaysia (BEM), penceramah, para peserta dan semua pihak yang terlibat sepanjang penganjuran seminar ini.

 

“ Ke Arah Pengiktirafan Jurutera Profesional ”

URUS SETIA DISIPLIN AWAM

Jabatan Kerja Raya Malaysia

 

26 September 2019