Date: Isnin, Ogos 13, 2018

Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah mengadakan sesi interaksi Pengarah Cawangan Dasar Pengurusan Korporat bersama pegawai-pegawai Kader di Pusat Sains Negara, Planetarium Negara dan Agensi Remote Sensing Negara pada 8 Ogos 2018 bertempat di Auditorium Ibnu Sina, Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Program yang diadakan dua (2) kali setahun telah dihadiri oleh barisan pegawai CDPK dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Kementerian Kerja Raya serta Pengerusi Majlis Tindakan Kader sesi 2019/2020 iaitu Ir. Hasnan bin Hamid bersama barisan Ahli MTK.

Sesi dimulakan dengan ucapan selamat datang oleh YBrs. Pn. Norazlina binti Baharom, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Pusat Sains Negara selaku tuan rumah bagi majlis ini dan diteruskan dengan ucapan aluan dan amanat oleh YBrs. Tn. Hj. Meor Mohamed Haris bin Meor Hussein, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat.

Sesi Interaksi ini adalah bertujuan bagi mengeratkan hubungan bersama pegawai-pegawai Kader yang telah mengharumkan nama JKR di mana khidmat JKR sebagai penasihat teknikal masih relevan di Kementerian/Jabatan dan merupakan pengiktirafan Kementerian/Jabatan atas pegawai Kader JKR sebagai penentu kepada reputasi, nama baik, kredibiliti dan jenama unggul JKR.

Program ini disusuli dengan sesi perbincangan dan soal jawab berkenaan pelbagai isu khususnya melibatkan kumpulan sokongan. Antara isu-isu yang diutarakan adalah perjawatan, peluang kenaikan pangkat, LNPT dan idea serta pengalaman semasa berkhidmat di Kementerian/Jabatan.

Sesungguhnya program ini telah memberi laluan dalam mewujudkan rasa keperihatinan JKR terhadap pegawai-pegawainya yang berkhidmat di Kementerian/Jabatan dengan penuh komited dan berintegriti.