Date: Rabu, September 14, 2022

Satu sesi libat urus di antara Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah diadakan bagi membincangkan isu-isu utama dalam pelaksanaan Environmental Impact Assessment (EIA) bagi projek JKR serta hubungan kerjasama di antara JAS dan JKR Malaysia. Sesilibat urus ini telah diterajui oleh Pengarah Cawangan Alam Sekitar & Kecekapan Tenaga (CASKT), Pn. Farah Binti Abdul Samad serta dihadiri oleh pegawai kanan dari CASKT.

Sesi libat urus ini telah diadakan secara fizikal dan atas talian serta di pengerusikan oleh Yang Berusaha Dr. Norhazni binti Mat Sari, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JAS. Sesi ini turut dihadiri oleh pegawai kanan dari Ibu Pejabat JAS serta Pengarah / wakil dari JAS Negeri termasuk dari JAS Sabah dan JAS Sarawak. Beberapa isu utama berkenaan pelaksanaan EIA bagi projek JKR, cadangan penambahbaikan serta halatuju telah dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Selain itu , Yang Berusaha Dr. Norhazni juga memaklumkan libat urus ini akan dijadikan acara tahunan dan sesi ini adalah yang pertama.

 

Sekalung penghargaan diucapkan kepada pihak Jabatan Alam sekitar yang telah menerima kunjungan dari JKR dan memberikan kerjasama yang baik dalam membincangkan isu-isu yang telah dibangkitkan oleh pihak JKR. 

Adalah diharapkan sesi libat urus ini dapat dijadikan satu platform yang efektif dalam memperkasakan pelaksanaan EIA. Ini adalah selaras aspirasi kerajaan bagi projek-projek RMK12 yang mengakui pemuliharaan ekosistem semulajadi adalah strategi utama untuk melonjakkan kemampanan dengan memastikan habitat dan ekosistem semula jadi dapat dilindungi.