23 Ogos 2024 – Satu sesi libat urus bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia dengan Pihak Pengurusan Atasan dan Pengarah Kanan/Pengarah Cawangan/Pasukan Projek Khas JKR Malaysia berkaitan pelaksanaan program Demerit Performance Evaluation (DEEP) telah diadakan di Bilik Mesyuarat Berlian, Aras 2, Menara Kerja Raya yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia.
Pembentangan mengenai pelaksanaan DEEP di peringkat jabatan telah diberikan oleh En. Ahmad Najme bin Muhammad daripada JPA. Sesi ini turut dihadiri oleh Pn. Syuhaida binti Abdul Wahab Zen, Timbalan Pengarah Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar JPA dan pasukan JPA, En. Azmisharulzaila bin Hassan dan En. Haris Husni bin Muhammad Radzi selaku wakil daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan Pn. Priscilla Bong anak Samson Onggie, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Korporat Kementerian Kerja Raya (KKR) beserta empat (4) lagi pegawai dari KKR.
Tujuan sesi ini diadakan adalah untuk mendapatkan penerangan lanjut daripada pihak JPA dan berbincang berkaitan pelaksanaan DEEP iaitu satu kaedah baharu penilaian prestasi khusus terhadap semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan (KSUKP) yang telah diperkenalkan dalam Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 pada 13 Februari 2024. Beberapa isu berkaitan kaedah pengukuran yang akan dilaksanakan turut dibincangkan berdasarkan konteks pelaksanaan perkhidmatan oleh JKR.
Adalah diharapkan agar sesi taklimat dan perbincangan ini dapat memastikan penilaian terhadap pencapaian JKR dilaksanakan dengan berkesan dan terbaik.
- 1055 bacaan