Date: Selasa, Januari 30, 2024

Pada 24 Januari 2024, delegasi daripada Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Sarawak yang diketuai oleh Pengarah UPEN Sarawak, Yang Hormat Datu Lester Matthew  telah mengadakan sesi libat urus ke JKR Malaysia. Delegasi ini turut disertai oleh beberapa Agensi dan Jabatan Negeri Sarawak seperti Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri (SFS), Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPLGH), Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDERN), Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD), Kementerian Utiliti dan Komunikasi (MUT), Jabatan Tanah dan Survei (D L&S) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak. Tumpuan dan fokus sesi libat urus ini adalah berkaitan dengan  pelaksanaan Inisiatif Value At Entry (VAE) yang diselaraskan oleh JKR Malaysia melalui Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) bagi permohonan projek oleh Kementerian dan Agensi di peringkat persekutuan.

 Program dimulakan dengan lawatan ke Pejabat Pengurusan Tertinggi JKR di Tingkat 33 yang telah disambut oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Badioezaman Bin Ab Khalik, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) – Menjalankan Tugas KPKR dan YBhg. Datuk Sr Amran Bin Hj. Mohd Majid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) bagi sesi menandatangani buku pelawat dan bergambar. Delegasi seterusnya dibawa ke Bilik Mesyuarat Berlian, Tingkat 2, Blok G, IP JKR bagi sesi taklimat dan mesyuarat berkaitan dengan pelaksanaan Inisiatif VAE yang merangkumi inisiatif khusus seperti ACAT (Acquisition Categorisation), Value Management Strategik (VMS) dan GN0 (Gerbang Nilai 0). Secara umumnya, pihak UPEN Sarawak amat menghargai sesi libat urus dan perkongsian ilmu ini khususnya bagi memantapkan perancangan pembangunan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.