Pada 03 September 2024 (Selasa), satu sesi libat urus antara YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia bersama Ahli Majlis Tindakan Kader (MTK) telah berlangsung di Ibu Pejabat JKR Malaysia. Perjumpaan tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat (CDPK), wakil daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya (KKR), wakil daripada Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu (CPAB) dan juga wakil daripada bahagian CDPK.
Sesi perjumpaan ini julung kalinya diadakan pada tahun 2024 bagi mengeratkan lagi hubungan di antara Pegawai Kader JKR dan pihak Pengurusan JKR Malaysia. Dalam sesi tersebut, YBhg. Datuk Wira KPKR turut menyampaikan amanat dan peranan Jabatan Kerja Raya sebagai jabatan teknikal terbesar kepada pembangunan negara. Peranan pegawai Kader adalah amat penting dalam memberi khidmat nasihat teknikal dalam membantu pelaksanaan dan pengurusan projek di Kementerian/Jabatan/Agensi. YBhg. Datuk Wira KPKR turut mengingatkan fungsi serta peranan Ahli Majlis Tindakan Kader (MTK) sebagai satu platform medium penghubung diantara kepada pegawai - pegawai Kader JKR di Kementerian/Jabatan/Agensi Pelaksana dengan Pengurusan Ibu Pejabat JKR.
Sebelum mengakhiri mesyuarat, YBhg. Datuk Wira KPKR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pegawai - Pegawai Kader JKR yang telah memainkan peranan penting di Kementerian/Jabatan/Agensi Pelaksana dan berharap sentiasa menjaga nama baik Jabatan serta berusaha menjalankan tugas dengan baik serta cemerlang bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai matlamat yang diingini. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat (CDPK) yang telah berjaya menguruskan sesi perjumpaan ini.
- 2741 bacaan