Date: Rabu, Februari 15, 2023

Sesi memeterai Memorandum of Agreement (MoA) Antara Kerajaan Dan Syarikat Utiliti Bagi Kerja Perlindungan, Pengalihan Dan Pemasangan Semula Utiliti Dalam Pelaksanaan Program Dan Projek Kerajaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) ini julung kalinya dibuat dan telah berlangsung pada 10hb Februari 2023 (Jumaat) bertempat di Bilik Tanjung, Kompleks Kementerian Kerja Raya.

Sesi memeterai MoA ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Wira Wan Ahmad Uzir Bin Haji Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya Malaysia selaku pemilik program RMKe-12 dan disaksikan oleh YBhg. Dato' Ir. Hj. Zulkipli Bin Hj. Nasri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Infra). Turut hadir YBhg. Dato' Zahrul Hakim Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya Malaysia, YBrs. Ir. Rahmat Bin Hj. Abd. Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Bangunan), YBrs. Sr. Amran Bin Hj. Mohd Majid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Pakar). Sesi ini diselaraskan oleh YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim Bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan Ibu Pejabat JKR Malaysia selaku urusetia bagi memuktamadkan MoA sehingga termeterainya.

Memorandum of Agreement (MoA) ini bertujuan untuk mewujudkan suatu hubungan perundangan bersama dan punca kuasa bagi menyalurkan Dana Pembiayaan kepada syarikat utiliti. Dana Pembiayaan yang didahulukan oleh Kerajaan ini akan dituntut semula setelah kerja pengalihan utiliti siap dilaksanakan. 

Ini merupakan satu catatan sejarah dan merupakan sesi pertama bagi menandatangani MoA diperingkat Kementerian Kerja Raya Malaysia dimana ianya melibatkan syarikat Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, PETRONAS Gas Berhad dan Fibrecomm Network (M) Sdn Bhd. MoA ini merupakan templat dan hendaklah digunapakai sepenuhnya oleh agensi kerajaan lain dan sekiranya terdapat sebarang pindaan perlu dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-undang Agensi masig-masing untuk kelulusan.

JKR selaku agensi pelaksana kerajaan memikul amanah rakyat untuk memastikan serta memenuhi aspirasi kerajaan agar program dan projek dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dan tepat pada masa sepertimana yang telah dijanjikan.

Berita oleh:
Cawangan Jalan IP JKR Malaysia